Ramadhan 1434H Yang Produktif


Ramadhan kembali lagi! Alhamdulillah sama-sama lah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana telah diberikan rahmat dan usia yang panjang dapat kita bertemu lagi dengan bulan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan ini.

Tahun 1434 Hijrah ini akan menyaksikan aku berpuasa bersama ahli keluarga di Amerika Syarikat. Ia merupakan satu cabaran baru walaupun kami pernah berpuasa jauh dari keluarga di Malaysia. Antara cabaran utama ialah tempoh berpuasa yang agak panjang, iaitu kira-kira dari jam 4 pagi sehingga 8.30 malam (lebih 16 jam). Musim panas juga akan memberikan cabaran besar dari segi ketahanan fizikal. 

Walau bagaimana pun, itu semua adalah asam garam kehidupan dan semuanya telah disuratkan oleh Allah SWT bagi menguji hamba-Nya. Ia tidak boleh dijadikan alasan bagi mengalih perhatian kita kepada rahmat dan ganjaran pahala yang akan diraih sekiranya Ramadhan kali ini dihayati dengan penuh keimanan serta ketaqwaan. 

Justeru itu, aku ingin mengambil kesempatan sempena kedatangan Ramadhan 1434H kali ini untuk merancang dan memanfaatkannya dengan penuh produktif, seperti tema tahun ini - "Productive Ramadhan" (Ramadhan yang produktif). 

Konsep produktif ini sesuai dilaksanakan dalam bulan Ramadhan yang memerlukan disiplin diri yang tinggi. Perlukan konsistensi, fokus yang jelas, ke arah halatuju dan matlamat yang tepat. Kita perlu bekerja lebih tekun, amanah dan mempunyai sasaran. Dalam aspek memperbaiki kualiti diri dan kehidupan juga perlu ada fokus dan sasaran yang jelas, serta konsisten dalam usaha yang dilakukan. 

Produktiviti juga berkait rapat dengan pengiraan output dan kaitannya dengan input. Ibadah puasa adalah input terbaik, untuk mendapatkan output yang optimum dari segi pahala mahupun kesihatan tubuh badan, memperbaiki sikap dan cara kerja kita. Walaupun dengan hanya menahan diri dari makan dan minum, nafsu dan mengawal diri, ibadah puasa adalah latihan terbaik mendisiplinkan diri, meningkatkan kesihatan tubuh badan, mempengaruhi sifat yang positif dan menghindari sikap negatif. Sesetengah orang berjaya mencari rezeki lebih di bulan Ramadhan. 

Justeru itu, konsep Productive Ramadhan adalah yang terbaik bagi membantu kita mengisi Ramadhan ini dengan lebih baik dari segi amal ibadat dan juga kehidupan seharian. 

Selamat menyambut Ramadhan Al Mubarah dan selamat menunaikan ibadah puasa! :D

BACAAN TAMBAHAN:
http://www.mpc.gov.my/mpc/images/file/ProductivityRamadan.pdf
SUMBER : Perbadanan Produktiviti Malaysia

ProductiveRamadhan.Com - http://productiveramadan.com/resources/

Comments

pak wan said…
wow 16 jam tuu.. adoiiii.. kesian anak2 lama sangat tuu..
Shahrulmiza said…
Alhamdulillah nasib baik cuti sekolah. Kalau tidak memang teruk juga diaorg nak puasa panas2 nih...