Bergambar kenangan bersama Pengarah & Pengerusi General Chamber of Commerce, ROC, Presiden Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia Taipei, dan isteri.
Satu lagi sejarah dicipta di Taiwan. Pejabat aku berjaya meraih anugerah "Golden Merchant" bagi kategori pejabat perdagangan antarbangsa terbaik di Republik China (ROC) untuk tahun 2008, daripada General Chamber of Commerce, ROC. Anugerah telah disampaikan oleh Naib Presiden ROC, Vincent Siew dalam satu majlis yang gilang gemilang pada 31 Oktober 2008. Syukur Alhamdulillah.
Aku mendedikasikan kejayaan ini kepada semua kakitangan MATRADE Taipei dan mantan Pengarah Perdagangan terdahulu yang telah bekerja keras membina asas dan mengembangkan perdagangan antara Malaysia dengan Taiwan. Tidak dilupakan, semua persatuan perdagangan serta ahli perniagaan daripada kedua-dua buah negara yang terus menerus membina hubungan dagang yang erat lebih 30 tahun yang lalu.
Pada tahun 2007, nilai perdagangan antara Taiwan - Malaysia adalah sebanyak US$11.43 bilion, jumlah tertinggi pernah dicatatkan. Bagi tempoh Januari-Ogos 2008 pula, jumlah perdagangan yang direkodkan adalah bernilai US$8.8 bilion. Kira-kira 75 peratus daripada barangan yang didagangkan adalah bahan mentah, komponen dan barang separa-siap. Ia juga berkait rapat dengan jumlah pelaburan Taiwan di Malaysia, yang berada di kedudukan ketiga tertinggi antara semua pelabur asing pada tahun 2007.
Walaupun prospek perdagangan antarabangsa dijangka mengalami kelembapan pada suku keempat tahun 2008 dan separuh tahun pertama 2009, namun aku masih menyimpan rasa optimis bahawa perdagangan antara Malaysia dan Taiwan akan terus berkembang, kerana ekonomi kedua-dua negara adalah berorientasikan eksport. Aktiviti pengeluaran akan terus seperti biasa, tetapi tidak serancak semasa ekonomi di dalam keadaan pengembangan. Fokus aku pada tahun 2009 adalah untuk meningkatkan jalinan kerjasama dan hubungan dagang yang lebih erat antara pihak swasta dari kedua-dua negara. Insya-Allah, aku berdoa agar usaha ini mendapat rahmat dan keberkatan daripada-Nya.
Malaysia boleh!
Comments