Chihsi - Chinese Love Day


Bila aku memerhati gelagat pasaran (market behaviour) di Taiwan seminggu dua ni, nampak semacam ada satu kempen promosi (promotional campaign) di kedai cenderahati, restoran dan hotel. Menurut kakitangan aku, rupa-rupanya masyarakat Cina akan menyambut "Chihsi Festival" atau Hari Cinta (memperingati kekasih), atau Valentine versi Cina.

"Chihsi" lazimnya disambut pada hari yang ketujuh pada bulan ketujuh (mengikut kalendar lunar Cina). Ada cerita sedih di sebalik sambutan Chihsi ini. Menurut legenda lama Cina, pada zaman dahulu, ada seorang petani miskin bernama Niulang telah bercinta dengan seorang dewi kayangan bernama Zhinu. Percintaan antara dua darjat yang berbeza ini mendapat tentangan keluarga dewa berkenaan, tetapi kerana cinta yang mendalam, Zhinu telah melanggar sumpah dan berkahwin dengan Niulang. Dewa kayangan telah menghukum kedua-dua pasangan itu dengan memisahkan mereka berdua begitu jauh, seorang di timur seorang di barat, sehinggakan tidak dapat bertemu langsung, kecuali pada hari ketujuh di bulan ketujuh, di mana sekumpulan burung murai akan datang dan membina sebuah jambatan sementara bagi menemukan Zhinu dan Niulang hanya pada hari itu. Dikhabarkan mereka mempunyai dua orang anak, dan setiapkali mereka berjumpa, Niulang akan mengendong kedua-dua anak mereka menaiki jambatan tersebut untuk menemui ibu tersayang.

Cerita cinta sedih ini telah diabadikan oleh masyarakat Cina dan disambut setiap tahun, bagi melambangkan tarikh menyuburkan semula cinta yang jauh, yang terputus dan terpisah...

Comments