Catatan 8-10 Ramadhan 1428H

Dalam beberapa hari ini, aku melakasanakan ibadah puasa dalam keadaan yang amat "basic", berbanding apa yang kuamalkan di tanahair Malaysia. Ini kerana, keadaan agak kesuntukan dan memaksa aku untuk memberikan tumpuan yang lebih kepada keutamaan lain, terutamanya berkaitan tugasanku di Taiwan ini.

Namun begitu, aku bersyukur kerana dalam beberapa hari ini, pertolongan daripada Allah SWT datang kepadaku. Beberapa tugasaan aku telah dipermudahkan oleh-Nya. Aku berjaya meraih beberapa pencapaian yang baik dan menepati beberapa sasaran kerja yang agak "urgent" dalam masa beberapa hari ini.

Alhamdulillah, aku bersyukur ke hadrat Allah SWT di atas segala rahmat dan kurniaan-Nya kepada aku, bukan semata-mata dari segi rezeki, malah dipermudahkan urusan aku di sini. Alhamdulillah, syukur Alhamdulillah.

Aku percaya, sekiranya kita ikhlas dalam perbuatan kita, dan yang paling penting, hati kita, niat kita itu diiktikadkan kepada Allah SWT, dan berserah kepada-Nya setelagh berusaha sedaya upaya dan sebaik mungkin, insya-Allah pekerjaan dan perbuatan kita itu akan dirahmati serta diberi keberkatan oleh-Nya. Bukan lah aku ingin menunjuk-nunjuk atau meninggikan diri, akan tetapi itu salah satu pelajaran yang aku dapati di bulan Ramadhan yang mulia ini. Ia berlaku, (it happens), kepada sesiapa yang tidak percaya, maka di sini aku menegaskan, ia berlaku, it happens.

Pertolongan Allah itu bukan sekadar diberikan kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul-Nya, hatta pahlawan pejuang Islam di medan peperangan kerana menegakkan agama Allah yang maha suci. Mereka ini sudah pasti mendapat pertolongan Allah dan kemenangan, kerana mereka dengan jelasnya berjuang dan berperang di jalan Allah. Fisabilillah.

Aku ingin menyatakan di sini, walaupun kita rakyat marhaen, makhluk Allah yang kerdil ini pun, boleh diberi kemudahan dan kesenangan oleh-Nya dalam skop perjuangan kita sendiri. Apa yang penting, kejujuran, keikhlasan serta niat yang suci, disusuli dengan usaha yang keras, gigih serta proaktif dan akhirnya disusuli dengan doa dan tawakkal kepada Allah SWT, insya-Allah segala apa pekerjaan dan perbuatan kita akan mendapat rahmat dan keberkatan daripada-Nya.

Inilah rahmat dan sinar Ramadhan bagi aku yang melaksanakan ibadah puasa di perantauan ini!
Alhamdulillah!!!

Comments