SEMASA - Menjimatkan penggunaan bahan petroleum

Satu berita yang dipetik dari Bernama.Com

03 Julai, 2007 21:54 PM

Rakyat Malaysia Boleh Jimat RM3 Bln Jika Cermat Guna Bahan Api


KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Pemandu kenderaan Malaysia boleh menjimatkan 10 peratus atau RM3 bilion daripada kos bahan bakar tahunan mereka bernilai kira-kira RM30 bilion jika mereka berhemat menggunakan bahan bakar.

Petua penting ialah mengelakkan kelajuan tinggi kerana mereka akan menghadapi halangan angin, yang bermakna kenderaan itu akan menggunakan lebih banyak bahan bakar cuma untuk mengekalkan kelajuan.

Bagaimanapun, ini mungkin sukar terlaksana berdasarkan kepada satu penyelidikan oleh Shell Malaysia yang mendapati bahawa 94 peratus daripada pemandu Malaysia adalah "mereka yang sangsi terhadap penjimatan bahan bakar" manakala hanya 6.0 peratus "ghairah terhadap penjimatan bahan bakar."

Berasaskan kepada Penyelidikan Global mengenai Penjimatan Bahan Bakar yang diterbitkan di sini hari ini, 15.5 juta kenderaan di atas jalan raya sehingga tahun lepas membakar 10.7 bilion liter gasolin kenderaan dan 5.8 bilion liter diesel.

"Hanya sepertiga daripada pemandu telah memeriksa paras ekonomi bahan bakar kereta mereka masa kini," demikian menurut Shell Malaysia ketika mengumumkan hadiah wang tunai RM2 juta bagi menggalakkan pelanggannya mengambil langkah penjimatan bahan bakar.

Di samping itu, mereka yang sangsi terhadap penjimatan bahan bakar tidak yakin mengenai meningkatkan "ekonomi bahan bakar" mereka walaupun setelah dinasihat oleh keluarga atau rakan-rakan.

Penyelidikan itu menunjukkan bahawa rakyat Malaysia, Singapura dan New Zealand adalah antara pemandu yang lebih kerap memandu untuk menghantar anak mereka ke sekolah berbanding pemandu di negara lain yang dikaji, manakala lapan dalam 10 rakyat Malaysia memandu untuk bekerja.

Dalam memberikan petua untuk membantu rakyat Malaysia mengurus perbelanjaan bahan bakar, Shell Malaysia berkata pemanduan agresif boleh menggunakan sebanyak sepertiga lebih bahan bakar daripada pemanduan selamat.

Pemandu patut juga mengelakkan melajukan kenderaan atau membrek terlampau keras dan menggunakan stereng selembut mungkin."Elakkan menekan minyak berlebihan -- menukar gear dengan berhati-hati bila melajukan kenderaan (dan) jangan sekali-kali menekan hingga melampau gris merah pada meter di papan pemuka kerana ia membazirkan bahan bakar sewenang-wenangnya," kata Shell Malaysia.

Petua-petua lain termasuk mengekalkan tekanan tayar pada tekanan yang betul, menjaga (servis) enjin dengan kerap dan membuka rak barang di atas bumbung kenderaan kerana ia menjejaskan kecekapan aerodinamik dan menyebabkan tarikan kenderaan.

Pemandu patut juga mengelakkan membawa berat berlebihan, menggunakan penyaman udara dengan berhemat dan mengelakkan enjin hidup tanpa berjalan secara berlebihan, yang bermakna mematikan enjin bila menunggu lebih daripada dua minit.

Pemandu juga tidak harus menunggu sehingga tangki minyak kosong kerana tangki yang kosong dengan lebih banyak jumlah udara akan meningkatkan penyejatan minyak, tetapi penyelidikan menunjukkan bahawa 60 peratus daripada pemandu Malaysia menunggu sehingga tangki kosong.

-- BERNAMA

Comments