SEMASA: Jadilah pengguna yang bijak!

Semalam, Hari Pengguna peringkat Kebangsaan 2007 telah dilancarkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri di Shah Alam. Hari Pengguna dianjurkan sebagai acara tahunan oleh Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dengan tujuan mendidik pengguna agar bijak berbelanja dan memupuk sikap bertanggungjawab dan tahu hak-hak mereka sebagai pengguna.

Kerajaan telah melaksanakan tanggungjawab mereka. Maka kita sebagai rakyat juga perlu memainkan peranan sebagai pengguna yang bijak, ke arah menjana ekonomi negara.

Prinsip-prinsip pengguna yang bijak

1. Membeli barangan yang berkualiti - harga tinggo tidak semestinya menjamin kualiti. Bila mengunjungi pusat membeli-belah, pastikan barangan yang dibeli berkualiti.

2. Buat perbandingan harga - Menilai semula dan membuat perbandingan harga di beberapa tempat meningkatkan nilai sesuatu produk yang dibeli. Bacalah risalah-risalah dan katalog harga yang diedarkan sebelum membuat keputusan di mana pembelian patut dibuat. Jangan terdorong membeli barangan melebihi keperluan, walaupun murah.

3. Pilih perkhidmatan terbaik - Perkhidmatan murah yang tidak memuaskan hati boleh menyebabkan pengeluaran kos yang lebih tinggi pada akhirnya. Jangan menerima perkhidmatan yang tidak memuaskan, sebaliknya buatlah aduan dan carilah alternatif.

4. Buat pilihan tepat - Pengguna berhak diberi kebebasan untuk membuat pilihan berdasarkan maklumat produk yang dipaparkan dan mengikut citarasa, kemampuan dan keperluan. Setiap pengguna perlu biasakan diri membaca maklumat produk yang dipaparkan, terutamanya perihal ramuan, pengeluar dan tarikh tempoh tamat. Adalah menjadi tanggungjawab pengguna untuk mengambil tahu maklumat barang yang hendak dibeli.

Comments