SEMASA: Tahun Melawat Malaysia 2007

Marilah kita sama-sama menyokong Tahun Melawat Malaysia 2007! Berikan layanan terbaik kepada pelancong yang datang ke negara kita, walau di mana jua kita berada, agar mereka gembira dan seronok berada di negara ini. Kita juga perlu mengambil peluang daripada TMM dengan menceburkan diri dalam aktiviti ekonomi di sektor pelancongan. Insya-Allah, semoga perolehan RM45 billion yang disasarkan oleh Kerajaan itu akan tercapai...

-------------------------------------------------------------------------------
07 Januari, 2007 09:49 AM
TMM 2007 Dilancar Penuh Gilang-Gemilang


KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2007 dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Taman Tasik Titiwangsa di sini dalam satu majlis penuh gilang gemilang.Hujan di ibu negara malam tidak menjejaskan lebih 20,000 pengunjung ke Taman Tasik Titiwangsa yang tetap bersemangat meraikan pelancaran berkenaan.

Pelancaran itu berlangsung tepat pukul 10 malam dengan pertunjukan bunga api disambut dengan sorakan pengunjung yang tidak berganjak walaupun hujan semakin lebat sebaik majlis pelancaran disempurnakan Abdullah.

Perdana Menteri di dalam ucapannya meminta rakyat Malaysia supaya menjayakan program ini dengan menyambut dan melayan pelancong ke negara ini dengan penuh mesra.

Beliau meminta rakyat turut mempromosikan negara bagi membolehkan Malaysia muncul salah sebuah destinasi pelancongan utama dunia.

Abdullah berkata Malaysia bersedia menganjurkan program ini kerana yakin mempunyai banyak keistimewaan dan kelebihan yang boleh ditawarkan kepada para pelancong yang mengunjungi negara ini."Sebagai bukti kita mempunyai rakyat dari pelbagai etnik yang hidup aman selamat dan bahagia memakmurkan negara sendiri. Aset inilah yang memperkayakan budaya negara kita dan menjadi tarikan kepada pelawat," katanya.

Abdullah berkata Malaysia beruntung kerana selain dirahmati dengan kawasan yang indah, negara juga memiliki rangkaian pengangkutan dan jalan raya yang baik."Kita berbangga apabila pelawat yang datang tidak menghadapi kesusahan untuk melawat ke mana sahaja kerana rangkaian jalan yang baik dan selesa."Kita juga ada kemudahan pengangkutan darat dan udara yang baik, ini memberi kelebihan kepada kita dan tarikan kepada pelancong," katanya.

Perdana Menteri mahu rakyat Malaysia mengamalkan sikap ramah, sentiasa senyum dan bersedia membantu pelawat yang datang ke negara ini."Selain kemudahan yang kita ada, lebih penting dan yang telahpun diakui oleh pelancong luar ialah sifat mesra rakyat Malaysia yang sentiasa menerima baik kedatangan pelawat, jadi teruskan menerima baik pelancong dengan senyuman," katanya.

Abdullah berkata penerimaan baik rakyat terhadap pelancong asing boleh menjadi daya tarikan untuk mereka terus mengunjungi Malaysia dan melabur di negara ini. "Saya percaya banyak daripada mereka akan mahu membuat pelaburan, menanam modal, buka kilang dan sebagainya dan ini, selain memajukan industri pelancongan, juga memajukan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata sektor pelancongan di negara ini mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila lebih 17 juta pelancong mengunjungi Malaysia tahun lepas dan mereka membelanjakan lebih RM37 bilion.Perdana Menteri yang melancarkan TMM 2007 turut mengambil kesempatan mencuba "Ferris Wheel" yang dibuka buat pertama kalinya sempena pelancaran TMM 2007.

Selain Ferris Wheel, TMM 2007 juga bakal menganjurkan lebih 240 acara dan aktiviti yang akan diadakan di pelbagai lokasi di seluruh negara.Antaranya 50 acara besar yang akan dimulai dengan Festival Flora yang akan bermula dari 20 Jan hingga 4 Feb depan. Pelancaran TMM 2007, yang bertemakan "Sambutan Jubli Emas", juga merupakan perayaan berganda apabila turut dirai serentak dengan sambutan Tahun Baru dan Ulang tahun Ke-50 kemerdekaan negara.TMM yang diperkenalkan buat pertama kalinya pada 1990 dan kedua pada 1994, mencatatkan kejayaan membanggakan serta mencapai sasaran penganjurannya yang bertujuan mempromosikan negara sebagai salah satu destinasi pelancongan terkemuka dunia.

Selain festival flora, pelbagai acara lain yang dirancang bagi memberi pengalaman sukar dilupakan kepada para pelancong ialah Grand Prix F1, Festival Muzik Hutan Hujan Dunia (Sarawak) dan karnival jualan mega di seluruh negara.Malaysia mensasarkan sejumlah 20 juta pelancong asing akan mengunjungi negara sempena TMM 2007 dan menjangka memperoleh RM45 bilion daripada perbelanjaan pelancong yang secara purata dijangka membelanjakan RM2,250 seorang semasa berada di negara ini.-- BERNAMA

Comments