Menyubur semangat patriotik















SUMBER IMEJ: Bernama.com

Menjelang perayaan kemerdekaan ke-49 yang akan berlangsung hari Khamis ini, aku ingin mencoret sedikit pandangan terhadap semangat patriotik (kecintaan terhadap negara) di kalangan rakyat Malaysia secara umumnya, dan aku sendiri khususnya.

Bagi aku, kalau ditanya adakah aku mencintai negaraku, Malaysia, semestinya aku akan mengatakan "Ya" kepada soalan tersebut. Namun demikian, bagi menggambarkan atau melambangkan kecintaan terhadap negara, aku perlu melakukan sesuatu, sama ada secara sedar atau tidak. Ataupun, sama ada ditunjukkan pada orang lain mahupun dilakukan secara bersendirian.

Kerajaan begitu mewar-warkan kempen kibarkan Jalur Gemilang di kalangan rakyat Malaysia. Promosi dan kempen sempena kemerdekaan juga semakin meluas di dada akhbar, media cetak dan media elektronik. Setiap warganegara diajak untuk bersama-sama mengibarkan jalur gemilang sama ada di kenderan, di pejabat, di rumah dan di mana-mana sahaja agar suasana semakin meriah. Ramai yang menyut seruan itu, dan tidak kurang juga yang tidak melakukan apa-apa.

Bagi aku, setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk memaparkan semangat patriotik. Tak semestinya mengibarkan bendera sahaja melambangkan seseorang itu cintakan negara. Melakukan jasa bakti, berkorban masa, harta dan tenaga demi menunaikan tanggungjawab pada negara adalah satu lagi usaha patriotik. Aksi pemain-pemain negara berjuang habis-habisan di arena sukan semasa menyarung jersi negara menentang pasukan lain dalam satu pertandingan peringkat antarabangsa merupakan satu perlambangan semangat patriotik. Hatta jika sentiasa mendoakan keamanan, kesejahteraan dan kedaulatan negara dipelihara oleh Allah SWT juga adalah inisiatif yang amat patriotik. Tiada siapa melihat atau mendengar anda berdoa, tetapi Allah mendengar dan tahu keikhlasan di hati.

Apa yang penting, keikhlasan dalam memaparkan semangat patriotik perlu ada. Bukan sekadar menunjuk-nunjuk. Bukan setakat mengibarkan bendera dalam bulan Ogos sempena perayaan kemerdekaan. Semangat patriotik perlu dibajai, disuburkan dan dipelihara sepanjang masa. 24 jam sehari. 7 hari seminggu. 365 hari atau 52 minggu setahun. Kita perlu sentiasa mensyukuri rahmat Allah SWT dan memohon agar nikmat ini terus dikurniakan oleh-Nya...

Namun demikian, sebagai menyahut seruan Kerajaan, blog ini, laman web, skrin komputer dan kereta peribadi aku telah diletakkan imej Jalur Gemilang. Secara tidak langsung, ia menyemarakkan semangat menyambut kemerdekaan negara, dengan azam dan iltizam untuk terus berkhidmat, berbakti, berjuang bagi memastikan keamanan, kesejahteraan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

MERDEKAAA!!!!!

Comments