Kenapa nak kedekut ilmu?

Aku sekarang ini sedang menyiapkan satu kertas pembentangan (presentation paper) untuk dibentangkan dalam program Gerak Usahawan Pulau Pinang 2006 pada 30 Julai ini di Penang International Sports Arena (PISA).

Kertas pembentangan yang bertajuk "Peluang Perniagaan di Pasaran Antarabangsa" itu aku sesuaikan daripada pembentangan yang telah aku buat sebelum ini dalam program Gerak Usahawan di Kedah dan Perak. Aku cukup teruja apabila memberikan ceramah kepada usahawan Bumiputera yang dahagakan ilmu dan maklumat. Bukan menyombong atau meninggi diri. Tetapi, aku rasa amat berbangga dan bersyukur dapat diberikan peluang dan platform untuk berkongsi ilmu dan maklumat yang ada disekelilingku, untuk kebaikan bersama.

Aku terfikir, apabila kebanyakan mereka yang terlibat dalam bidang konsultansi atau khidmat nasihat kepada orang ramai atau pihak lain, sebahagian daripada mereka cenderung untuk berkongsi ilmu dan maklumat dalam kuantiti yang sedikit atau tidak sepenuhnya. Seperti mengajar orang membina rumah separuh siap. Dan biarkan kreativiti si pembuat rumah itu menjana idea bagi menghabiskan kerja yang telah separuh siap. Pada pendapat aku, ini satu risiko yang amat besar! Sama ada pembina rumah yang baru bertatih itu berjaya, atau gagal sama sekali!

Apa yang penting, kalau ada ilmu, jangan lokek berkongsi atau sebarkannya kepada orang lain yang memerlukan. Bijak pandai pernah berkata, ilmu yang ada pada seseorang itu ibarat setitis air di hujung sebatang jarum yang dicelupkan di dalam lautan yang luas. Berpegang kepada prinsip ini, aku merasa yakin dan cuba sedaya upaya untuk berkongsi sebanyak mungkin maklumat dan ilmu yang aku perolehi kepada mereka yang memerlukan.

Bertolak daripada kesedaran ini, aku memerah keringat dan potensi minda aku, mencari idea-idea baru dan maklumat-maklumat berguna untuk ku susun di dalam "slides" dan ku edarkan kepada peserta program Gerak Usahawan itu nanti.

Semoga secebis usahaku ini mendapat rahmat, keberkatan dan kejayaan daripada Allah SWT.

Catatan oleh Dr Irfan Khairi tentang topik yang hampir sama:
http://www.irfankhairi.com/blog/kongsikan-ilmu-dan-anda-akan-mendapat-ilmu/

Comments