Akhirnya!!! Rahsia telah terjawab...

Pernahkah Kau Bermimpi Seketika...
Berada Di Tempatku...
Membayangkan Pahit Manis Berlalu...
Entah Siapa Yang Tahu...


At last!!! Finally!!! Akhirnya!!! Spekulasi, khabar angin, cerita tergantung (apa lagi terminologi yang boleh dipakai... hehehehe...) kini telah terjawab. Telah menjadi jelas dan nyata. Fakta dan kenyataan keluar tepat daripada tuan empunya tubuh.

Alhamdulillah, semuanya terjawab. Ia bukan lagi rahsia... bukan "biarlah rahsia" yang menjadi siulan peminat masakini. Bukan lagi jawapan "menepis" - "No comment" yang sering terpacul dari bibir tuan empunya badan.

Siapa lagi yang dibicarakan di sini kalau tidak berkenaan kisah cinta penyanyi tersohor negara, Siti Nurhaliza dengan seorang ahli perniagaan, Datuk Khalid Muhammad Jiwa (atau lebih dikenali dengan nama "Datuk K" - satu lagi jenama dalam pembikinan... hehehehe...)

Siti Nurhaliza adalah satu jenama yang sudah dikenali di seantero dunia. Manakala, "Datuk K" boleh dilambangkan sebagai satu lagi jenama atau ikon positif seorang ahli perniagaan yang berjaya, "humble", segak dan kacak, serta murah dengan senyuman (disebalik misai tebal - ular sawa - kalau memetik jenaka Allahyarham M Zain dalam filem Labu Labi... hehehehe.... sekadar jenaka... aku dulu pun hampir-hampir memiliki misai setebal Datuk K... hehehehe...)

Apa yang penting, kita doakan agar perancangan baik mereka menjadi kenyataan, dan rumahtangga yang bakal dibina akan terus kekal bahagia hingga ke akhir hayat. Jodoh pertemuan, ajal maut, rezeki itu semua adalah hak dan ketentuan Allah SWT jua. Tak perlulah kita mempertikaikan atau tidak redha dengan-Nya. Mungkin ada hikmah yang tersembunyi, dan apa yang positif kita ambil jadikan tauladan, yang tidak positif kita tinggalkan jauh-jauh.

Selamat bercinta dan bersedia mendirikan rumahtangga untuk Siti Nurhaliza dan Datuk K!

----------------------------------------------------------------
21 Ogos hari bahagia buat Siti, Khalid
Oleh Farihad Shalla Mahmud dan Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Bibit percintaan Siti Nurhaliza Tarudin dengan usahawan, Datuk Khalid Mohamad Jiwa, terjalin sekembalinya penyanyi popular itu ke tanah air selepas konsertnya di Royal Albert Hall, London, April tahun lalu.

Siti, 27, yang mengakhiri spekulasi mengenai kisah cintanya semalam berkata, hubungannya dengan Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk K, 47, semakin mesra beberapa bulan kemudian sehingga beliau memberitahu keluarganya.

“Kami betul-betul rapat selepas persembahan di Royal Albert Hall. Sebelum itu, memang kami saling mengenali tetapi hanya sebagai rakan perniagaan. Bukan niat merahsiakan tetapi kami cuma mahu menanti hari sesuai dan memerlukan masa untuk berbincang dengan ibu bapa Siti dan keluarga terlebih dulu.

“Jadi, hari ini hari sesuai kami beritahu perkara ini. Kalau ditanya kenapa Siti jatuh hati kepadanya, biarlah ia menjadi rahsia. Tetapi salah satu sebab Siti tertarik kepada dia kerana caranya mencurahkan kasih sayang terhadap anaknya,” katanya.

Siti dan Khalid mengadakan sidang media khas di Hotel The Zon On The Park di sini semalam bagi mengumumkan tarikh pernikahan.

Penyanyi yang kini popular dengan lagu Biarlah Rahsia itu mengesahkan akan menikahi Khalid pada 21 Ogos ini di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta sebelum waktu Zohor, manakala majlis persandingan akan berlangsung pada 28 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Hadir sama bapa Siti, Tarudin Ismail; ibunya, Siti Salmah Bachik dan bakal ibu mentua, Siti Zainab Hanafi serta kakak Khalid, Zaiton Mohamad Jiwa. Turut kelihatan anak ketiga Khalid, Mohd Asraf, 14.

Terdahulu, majlis pengumuman mengenai perkahwinan pasangan itu dimulakan ucapan Tarudin yang merestui hubungan Khalid dan Siti. “Saya sebagai ayah dengan sukacita ingin mengumumkan bahawa saya merestui hubungan Khalid dan anak saya, Siti Nurhaliza,” kata Tarudin dalam ucapan ringkasnya. Siti, yang berbaju kurung kuning jingga dan Khalid berkemeja lengan pendek kuning, kelihatan ceria walaupun diasak dengan pelbagai soalan sensitif oleh media mengenai hubungan mereka pada sidang akhbar selama 45 minit itu.

Sidang akhbar itu disiarkan secara langsung oleh TV3 menerusi program Wanita Hari Ini (WHI), RTM1 dan stesen radio HotFM bermula 12 tengah hari, kali pertama seorang selebriti membuat pengumuman mengenai perkahwinannya menerusi siaran televisyen secara langsung. Khalid, bapa empat anak yang bercerai dengan Tengku Zawiyah Tengku Izham pada April tahun lalu ialah pengarah syarikat hartanah Naluri Berhad yang turut memiliki Hotel The Zon On The Park.

Penyanyi itu turut ditanya apakah beliau tidak bimbang dituduh peminat sebagai punca keretakan rumah tangga Khalid. Bagaimanapun, pengerusi majlis, Datuk Raja Shah Rezza Shah menghalang media bertanyakan soalan berkisar rumah tangga Khalid. Mengenai hubungannya dengan anak Khalid, Siti berkata: “Saya akan cuba sehabis baik untuk menjadi ibu kepada anak Datuk K kerana Siti lihat perkahwinan bukan untuk menerima diri Datuk K seorang tapi juga keluarganya. “Jadi Siti perlu membahagikan kasih sayang yang terbaik dan tidak ada beza, insya-Allah.” Khalid pula berkata, hatinya terpaut kerana Siti seorang yang istimewadari semua segi. “Banyak benda yang menarik tapi saya tidak mahu huraikan, biarlah benda tu menjadi rahsia saya,” katanya.

Beliau juga berkata, tarikh pernikahan mereka pada 21 Ogos dipilih sempena sambutan Israk dan Mikraj, manakala hari persandingan pada 28 Ogos bersamaan ulang tahun ke-38 perkahwinan ibu bapa Siti.

Perancang majlis perkahwinan mereka adalah Nusantara Gems Sdn Bhd milik Shah Reza, manakala pakaian pengantin direka oleh Radzuan Radzwill, Michael Ong, Khoon Hooi, Embun dan seorang pereka fesyen tersohor Indonesia, Anna Avanti. Siti akan disolek juruandam terkenal Nurul Shukor dan seorang jurusolek dari Indonesia dikenali Mia.

Comments