Pasca Aidilfitri & Refleksi Ramadhan 1434H

Hari ini dah masuk 5 Syawal. Bila sahaja Ramadhan berlalu dan gerbang Syawal dilewati, senarionya seakan memandu dengan kelajuan 110 km/j di laluan lurus Lebuhraya Utara-Selatan bersempadan Selangor/Perak yang berhampiran Behrang. So fast, zassss.. passing the border, and move forward without turning back. Tanda sempadan semakin berbalam-balam dari pandangan.

Tiada masa untuk kita berhenti sejenak merenung kembali apa yang telah kita capai dan lakukan sepanjang Ramadhan, melihat apa yang telah kita lakukan semasa sambutan Aidilfitri dan menghayati "learning points" daripada pelajaran Madrasah Ramadhan/Syawal. 

Mengimbau intipati khutbah Aidilfitri yang lalu:
  • Objektif utama ibadah puasa di bulan Ramadhan adalah menjadikan manusia (umat Islam) sebagai umat yang "BERTAQWA";
  • TAQWA membezakan golongan mukmin VS golongan ingkar;
  • Perlunya menghayati konsep "wasatiyyah" - pertengahan, keseimbangan dan kesederhanaan;
  • Ramadhan adalah bulan yang mulia di mana umat Islam perlu mengambil kesempatan untuk melipatgandakan amal ibadah sebanyak mungkin. Ia diibaratkan sebagai "bonus round" dalam mana-mana permainan elektronik. Di samping mendapat markah biasa, pemain juga akan mendapat markah bonus tambahan;  
  • Syawal adalah masa untuk merayakan kemenangan perjuangan di bulan Ramadhan, sekiranya umat Islam merasa ibadah mereka adalah satu kejayaan;
  • Umat Islam perlu berhati-hati dengan strategi perancangan/tindakan musuh yang ingin melemahkan kesatuan ummah;
  • Menginsafi nasib umat Islam yang ditindas dan menghadapi kehidupan yang sukar;
  • Musuh utama yang lebih dahsyat dan sukar ditangani manusia adalah hawa nafsu.
Ibadah puasa juga berjaya membentuk :
  • Disiplin diri - bersahur dan berbuka tepat pada waktu;
  • Menunaikan solat wajib dan sunat tarawih/witir dgn konsisten;
  • Sifat sabar dan jiwa yang kental menghadapi sebarang dugaan/cabaran semasa berpuasa;
  • Hati yang lembut, prihatin dan insaf dengan kemaslahatan umat Islam yang tertindas, kehidupan sempit, dalam peperangan, ditimpa musibah;
  • Hati yang terbuka dan berlapang dada untuk bersedekah sama ada dari segi harta mahupun tenaga;
  • Semangat ukhuwwah Islamiah dan persaudaraan sesama Islam
Tindakan susulan kita sebagai umat Islam:
  • Menunaikan ibadah puasa 6 hari di bulan Syawal - melengkapkan ibadah puasa Ramadhan bagaikan berpuasa sepanjang tahun;
  • Terus konsisten dengan disiplin diri melakukan amalan baik, menjaga pemakanan dan kesihatan tubuh badan;
  • Sentiasa berdoa agar kita dipanjangkan umur untuk bertemu dengan Ramadhan akan datang.
HADIS UNTUK RENUNGAN
Diriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:
Amalan yang paling disukai oleh Allah SWT adalah yang berterusan walaupun sedikit. (Riwayat Al-Bukhari)
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Rugilah sesiapa yang disebutkan namaku di sisinya tetapi tidak bersolawat kepadaku, dan rugilah sesiapa yang Ramadhan datang kepadanya dan berlalu tanpa diampunkan dosanya, dan rugilah sesiapa yang mempunyai kedua ibubapa tetapi tidak menyebabkannya dia masuk syurga. (Riwayat Tirmizi)

Comments