Catatan Ramadhan 1434H - 02 : Seminggu Ramadhan

Pejam celik pejam celik, dah seminggu Ramadhan 1434 H ditempuhi. Alhamdulilah kami sekeluarga berjaya menghadapi cabaran dengan baik, berdisplin dan mengawal diri utk mematuhi segala perintah dan menjauhi segala larangan daripada Allah SWT.

Selain daripada genap setahun berkelana di bumi AS, bulan ini juga genap 12 tahun aku berada dalam organisasi ini. Pahit manis jatuh bangun memang semuanya banyak dirasai. Pengalaman mengembara ke banyak tempat segenap ceruk dunia amat mematangkan fikiran dan membuka horizon baru dari segi "worldview". Bila melihat bagaimana bangsa / negara lain bekerja keras membangunkan diri masing-masing di dalam dunia yang amat kompetitif ini, aku merasakan bahawa Malaysia juga boleh bersaing dan menjadi sebuah negara yang kuat, dengan syarat kita perlu bersatu padu, memiliki sikap dan budaya yang betul, fokus pada matlamat dan perlu membangunkan "core competencies" kita supaya menjadi satu kelebihan yang boleh dibanggakan dan dipromosikan kepada dunia luar.

Kali ini, aku ingin mencoretkan sedikit tentang Ramadhan sebagai masa untuk muhasabah. Refleksi di atas merupakan antara kepingan "puzzle" (puzzle pieces) aktiviti muhasabah di bulan yang mulia ini. Membaca catatan lama blog ini juga adalah satu muhasabah, iaitu mengimbas kembali apa yang telah dilakukan, meneliti kejayaan yang diraih / kegagalan yang ditempuh, memikir dan menganalisis sesuatu isu dalam konteks semasa dan konteks sejarah, merumuskan pandangan serta melakar kesimpulan.

Melihat ke belakang bukan untuk menangisi kesilapan semalam, bukan untuk bermegah dengan pencapaian lalu, bukan untuk tertawa kelucuan, bukan untuk diulang/dibuat semula (reproduce). Itu semua telah menjadi catatan sejarah. Kita perlu belajar dari sejarah. Lessons learned are more important.

Apa yang penting adalah melihat ke hadapan dengan lebih positif, menyusun semula, memperbetulkan apa yang tersilap, memperkemaskan yang longgar, menetapkan fokus dan merancang gerak kerja yang lebih produktif dan efektif, sejajar dengan tema "Ramadhan yang Produktif".

Biarpun kita nampak diam, low profile dan perlahan, kita pastikan kita tidak akan tersilap langkah, dan setiap langkah yang disusun adalah langkah yang menuju destinasi yang pasti.

Jangan terjebak dan terpengaruh dengan mainan duniawi. Sesetengah manusia seakan mengejar dunia tanpa memikirkan implikasi pada alam sekeliling. Rakus dan gelojoh mengejar kekayaan, kemakmuran, kemegahan dan menjulang nama di mata dunia. Mereka tidak mempedulikan Ramadhan yang penuh keberkatan dan menawarkan lebih banyak faedah di akhirat. Mereka gagal untul membuat pelaburan untuk kehidupan selepas mati.

Aku tidak mahu jadi seperti itu. Aku perlu menahan diri daripada terlalu mengikut arus dunia yang penuh dengan muslihat dan agenda tersembunyi. Aku perlu berenang "at my own pace" dan fokus pada kekuatan diri untuk lebih istiqamah (konsisten). Berada di NYC ini seakan berenang di Lautan Pasifik yang penuh dengan pelbagai hidupan laut dan alam sekitar yang mencabar, namun kalau kita pandai bawa diri dan pandai menjaga diri, insya-Allah kita akan selamat. (nasihat pada diri sendiri).

Aku tak pasti berapa lama aku akan berenang di sini, namun fokus aku adalah untuk sentiasa siap siaga kalau2 satu hari aku terpaksa berhijrah ke kawasan baru untuk menempuh cabaran yang baru. Aku pasrah.

Kepada-Mu Ya Allah, aku berserah...
7 Ramadhan 1434H

Comments