Islamic Centre of New York - jemaah berpusu2 keluar dari masjid setelah menunaikan solat Jumaat.
Ramadhan kembali lagi menjengahkan diri. Alhamdulillah dengan Kuasa Allah SWT, musim panas yang memeritkan bertukar kepada cuaca dingin dan lembap (kesan hujan lebat seharian). Itulah rahmat 1 Ramadhan yang Allah limpahkan kepada muslimin muslimat di kota New York ini.
Aku hanya sempat mengecapi Ramadhan di tanahair tahun lepas, itupun separuh Ramadhan amat sibuk dengan tugasan di dalam Lab di Kelana Jaya. Nasib baik sempat juga kembara bazar Ramadhan, tapi solat Tarawih susah nak ditunaikan kerana komitmen keluarga.
Masa amat pantas berlalu, kini kutempuhi Ramadhan kembali di perantauan. Kali ini cabaran amat getir, kerana musim panas, waktu siang yang panjang (16 jam), negara bukan majoriti Muslim, dan paling mencabar, keluargaku berada di Malaysia. Mereka terpaksa menempuh Ramadhan tanpa ketua keluarga. Aku pula kembali seperti zaman bujang sementara di Penang dulu, makan nasi & air bungkus dalam plastik, sekali sekala join (menempek) majlis buka puasa yg org anjurkan.
Perjalanan hidup ini bukan mudah. Perit, mencabar dan menginsafkan. Namun betapa berat cabaran ku pikul, berat lagi kisah kehidupan warga Palestin seperti yang diceritakan oleh Duta Malaysia ke PBB, Datuk Hussein Haniff semasa beliau melawat Semenanjung Gaza baru2 ini. Betapa daifnya kehidupan mereka sekeluarga, dihimpit oleh tentera zionis laknatullah, tiada mata pencarian tetap, aktiviti ekonomi yang terhad, makanan yang tidak mencukupi, bekalan ubatan dan kemudahan kesihatan yang menyedihkan, tiada prasarana untuk berlindung, pembuangan sisa pepejal dan sisa manusia, Astaghfirullahal'azim... terasa bagaikan air mata ingin menitis deras.... syukur diberi rezeki dan kebebasan menyusun hidup sendiri, makan cukup, pakai cukup, tempat tinggal selesa, etc.
Begitulah asam garam hidup dan pelajaran yang ku perolehi hari ini. Melihat ratusan Muslimin (dan Muslimat) dari pelbagai bangsa dan warna kulit, warganegara bersama2 menunaikan solat Jumaat, mendengar khutbah dan berjemaah juga memalitkan warna2 pengalaman di dalam diari perjalanan hidup ini.
Semoga aku terus diberi kekuatan untuk menempuh cabaran ini. AllahuAkbar!

Comments