Mesej Pemimpin : Mengangkasa Tamadun Bangsa

Seperti tahun lepas, aku mengambil kesempatan sempena perhimpunan agung UMNO untuk meneliti mesej daripada pemimpin, terutamanya daripada ucapan dasar Presiden dan Timbalan Presiden.

Apa yang menarik perhatian aku, ucapan-ucapan ini telah ditulis dengan begitu lengkap, komprehensif dan memlilki idea yang cukup bernas untuk direnungi dan diamalkan, ceteris paribus.

Bukan senang untuk menulis ucapan dasar. Aku pernah menulis sekali untuk perasmian perwakilan sebuah bahagian UMNO di Malaysia suatu masa dahulu, semasa aku bertugas di dalam sebuah NGO di Kuala Lumpur. Ia perlu bersifat komprehensif, semasa, relevan dan merangkumi segala isu seperti agama, ekonomi, pendidikan dan agenda pembangunan bangsa Melayu itu sendiri. (mungkin dari situ aku mampu menulis sebegini di blog... hehehehehe...)

"MENGANGKASA TAMADUN BANGSA"

Itulah tema ucapan YAB Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semasa merasmikan perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO semalam.

Antara petikan/intipati ucapan YAB Datuk Seri:
  • Bangsa kita yang sekian lama berkampung di hulu dan membumi di darat perlu menerokai proses pengantarabangsaan dan pengangkasaan. Dalam persaingan global sekarang ini tidak cukup dengan mengantarabangsakan Melayu. Malahan, kita sudah sampai ke tahap tertinggi iaitu mengangkasakan bangsa kita. Semuanya bermula dengan impian besar, impian yang kini semakin menjadi realiti. Peristiwa Israk Mikraj, Nabi Muhammad diangkat Allah ke langit Sidratul Muntaha, sewajarnya mempesona imaginasi dunia, untuk meneroka sesuatu yang belum terfikir oleh manusia.
  • "Bangsa Angkasa” atau space nation adalah bangsa yang sentiasa mempunyai impian tertinggi. Bangsa Angkasa mempunyai tamadun yang hebat. Oleh itu, tamadun bangsa Melayu dan bangsa Malaysia akan terus kita angkasakan. Kita perlu menggali sains dan teknologi, memiliki pengetahuan dan kemahiran, menguasai pelbagai bahasa, menjana ilmu, mengukuhkan iman, berbudaya cemerlang dan bercita-cita setinggi angkasa. Justeru, “Mengangkasa Tamadun Bangsa” adalah tema ucapan saya pada tahun bersejarah ini.
  • Istilah “mengangkasa” yang dimaksudkan ialah suatu pencapaian setinggi mungkin yang dijadikan wawasan, impian dan cita-cita. Ia boleh juga bermakna menggemilangkan atau memartabatkan sesuatu daripada yang sudah ada kini ke tahap yang lebih tinggi. Ia bukan sekadar terbang ke angkasa atau naik ke langit, tetapi melambangkan usaha sehabis baik untuk menjadikan impian yang dianggap mustahil dapat menjadi realiti pada suatu masa nanti. Tamadun pula bermaksud keadaan masyarakat manusia yang dicirikan pada taraf kemajuan pembangunan serta perkembangan pemikiran, termasuk sosial, budaya, politik dan ekonomi yang mencapai tahap yang tinggi. Ia juga dikenali sebagai peradaban iaitu keadaan serta tingkat kemajuan pada kehidupan jasmani dan rohani sesuatu masyarakat.
  • Ibnu Khaldun, adalah tokoh sarjana Islam pertama yang membuat kajian khusus tentang tamadun dalam bukunya Muqaddimah. Tulisan beliau itu adalah karya kurun ke-14 sedangkan di Eropah perkataan civilisation hanya mula diungkapkan pada kurun ke-18. Tamadun Malaysia yang terus kita bina adalah kombinasi peradaban Melayu Islam dan nilai-nilai yang baik serta universal dari tamadun China, India, Barat mahupun Timur. Merujuk kepada istilah bahasa Arab yang lain, tamadun adalah sama pengertiannya dengan hadarah atau umran.
  • Apabila diutarakan hasrat mengangkasa hadarah atau tamadun, ia adalah sejajar dengan gagasan Presiden, YAB. Dato´ Seri Abdullah Ahmad Badawi tentang gagasan Islam Hadhari, pendekatan Islam yang menekankan aspek tamadun. Hasrat kita di satu ketika, peradaban yang dibina mampu mencapai tahap terbilang, setinggi dan seluas angkasa, menjadi rujukan dan tanda aras kepada seluruh dunia.
  • Jika saya katakan pewaris pejuang dan pembina peradaban itu adalah kita semua, ya benar, kitalah orangnya; Mamat dan Dollah, Timah dan Joyah, Sabran dan Suparman; Fidah, Hisham dan Ani; Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban. Persoalannya, adakah kita sudah bersedia, untuk mendukung amanah menggalas perjuangan mengangkasa tamadun bangsa?

Lima Teras Mengangkasa Tamadun Bangsa
Memiliki sejarah peradaban yang gemilang itu penting, tetapi yang lebih utama ialah zaman ini dan akan datang itu mestilah lebih gemilang. Nostalgia warisan lepas adalah untuk teladan dan sempadan. Pada saat ini, kita di sini dan eloklah pada hari esok dan lusa, tamadun setinggi angkasa itu sepatutnya sudah berada di depan mata. Perjalanan yang panjang berliku telah diimbas dengan ringkas untuk mengingatkan kita kepada kejayaan dan kegagalan. Untuk seterusnya, kita memerlukan “peta jalan dan batu tanda” (road map and milestones) perancangan hebat dan pelaksanaan yang cekap bagi memastikan kegemilangan.

Ucapan ini hanyalah suatu pemangkin terhadap usaha bersepadu melibatkan iltizam politik, jentera parti dan kerajaan dengan dukungan semua rakyat. Tamadun yang holistik merangkumi himpunan yang melibatkan agama, budaya, warisan, bahasa, sejarah, kesenian, sains, teknologi, kreativiti, inovasi, bangunan, gedung ilmu, prasarana desa, pekan, kota dan kehidupan masyarakat sesebuah negara.

Justeru, pada pandangan saya, untuk mengangkasa tamadun bangsa, kita memerlukan lima teras utama berikut:

  1. Bangsa glokal yang berminda kelas pertama sebagai peneraju,
  2. Ilmu dan pendidikan sebagai landasan pembinaan,
  3. Agama dan budaya sebagai asas peradaban,
  4. Pertumbuhan dan pengagihan ekonomi sebagai kekuatan; dan
  5. Kestabilan politik sebagai prasyarat.
SUMBER: http://web5.bernama.com/events/umno2007/index_bm.php?sid=newslistbm

Comments

Anonymous said…
terima kasih kerana sudi brkongsi artikel.. tp apakah bangsa? penting kah bangsa? apakah yg bangsa dpt jamin? bagiku, disebabkan tinta2 inilah, manusia jadi bangga & alpa.. janganlah kita 'Islam Illa Ismun' yakni Islam hanya pada nama...
Shahrulmiza said…
hmmm... komen myspot amat dihargai. Susah bila kita bercerita tentang agenda pembangunan bangsa. Persoalan2 yang diutarakan perlu dikupas dengan lebih terperinci dan kritis.

Apa yang menarik daripada ucapan ini, bagi aku adalah:
- gaya bahasa
- sasaran/cita2 yang dihasratkan
- motivasi untuk maju ke hadapan dalam dunia penuh saingan ini.