PENDAPAT - Menerima kritikan dan memberi kritikan membina

Pertandingan Bolasepak Piala Asia anjuran AFC telah hampir sampai ke kemuncak saingan. Sehingga catatan ini dibuat, empat pasukan - Iraq, Korea Selatan, Jepun dan Arab Saudi telah menempah tempat di peringkat Separuh Akhir. Ramalan aku - Iraq akan bertemu Jepun di perlawanan akhir... hehehehe... (sempat lagi buat ramalan...)

Akan tetapi, aku bukannya ingin bercerita tentang Piala AFC. Apatah lagi tentang isu nasional yang hangat diperkatakan, didebatkan, dibincangkan dan diulaskan oleh pelbagai pihak, daripada pucuk pimpinan sehinggalah ke rakyat marhaen - iaitu prestasi pasukan bolasepak Malaysia di dalam Piala AFC yang merudum dan menimbulkan kemarahan, keresahan dan ketidakpuasan semua pihak.

Aku lebih suka untuk mencoret "learning points" - ataupun pelajaran/iktibar yang boleh diambil daripada isu tersebut. Aku lebih suka bercerita tentang menerima kritikan dan memberikan kritikan yang membina.

Dalam isu ini, aku melihat ramai pihak, sama ada peminat, pengulas sukan, pengamal/wartawan di media massa, pemimpin politik, pemimpin/pegawai sukan, mengambil kesempatan memberikan kritikan mereka kepada pasukan bolasepak Malaysia, termasuk kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Pelbagai jenis dan bentuk kritikan dilemparkan, ada yang positif, ada yang membina dan tak kurang juga yang bersifat negatif, sinikal dan hanya menghentam keromo, menangguk di air yang keruh.

Atas dasar dan hakikat itulah, tercetus di fikiran aku bahawa masyarakat Malaysia masih lagi tidak dapat membezakan atau merencanakan satu bentuk kritikan yang membina, bagi manfaat semua pihak. Tidak guna menuding jari, mengutuk, menghamburkan cercaan, kata nista, cemuhan dan pelbagai lagi kata-kata negatif. Itu semua menyakitkan hati semua orang, mengeruhkan keadaan yang sedia keruh, menguatkan ketegangan yang semakin serius. Jika diumpamakan orang yang cedera, kritikan sebegini ibarat menabur garam ke luka yang telah parah.

Walaupun demikian, ada juga mereka yang amat positif, amat terbuka dan membina dari segi komentar yang diluahkan. Mereka seperti ini patut diberikan pujian dan diwar-warkan kepada umum sebagai contoh panduan kepada orang lain.

Bukan senang untuk memberikan kritikan yang membina. Kita perlu menggunakan bahasa yang positif dan tidak menyinggung mana-mana pihak, menyokong pendapat sendiri dengan fakta, menghuraikan kekusutan dengan jelas, menggariskan kaedah/jalan penyelesaian yang praktikal dan boleh dilaksanakan. Ini antara initipati kritikan yang membina.

Seperkara lagi, kemampuan kita untuk menerima kritikan yang diberikan. Agak mudah untuk mengkritik, sama ada kritikan membina atau kritikan tidak membina. Akan tetapi, bukan mudah bagi kita menerima kritikan yang membina dan mengambilnya secara positif untuk memajukan diri, ataupun memperbaiki diri.

Kita dapat lihat dalam pelbagai rancangan realiti yang ditayangkan di TV, di mana ramai juri bertindak sebagai pengkritik. Ada yang "laser", ada yang sinis, ada yang berdiplomasi, ada yang berlapik, malah ada yang tak reti mengkritik pun ada! Hehehehe... Bercakap senang, mengata senang, tetapi bagi mereka yang menerima di sebelah sana, hanya mereka dan Allah SWT sahaja yang tahu apa dalam hati. Berdebar, tersirap darah, gemuruh, menangis, sedih, etc etc.

Aku juga adalah insan seperti mereka. Masih belajar bagaimana memberikan kritikan dan menerima kritikan yang membina. Apa yang aku cuba terapkan adalah berfikiran positif dan membina. Persetankan mereka yang sinis ataupn terlalu lantang mengkritik. Itu gaya mereka. Itu cara mereka. Cara kita berbeza. Jadi, kita buat cara yang kita selesa, dan cuba sedaya upaya untuk tidak menyakitkan hati orang lain.

Bukan senang... tapi usaha kena dibuat tanpa mengenal penat dan lelah...

Comments