CORETAN - Balik Kampung...

Lama pula rasanya aku "bercuti" dari mencoret sesuatu di blog ini. Sebenarnya aku balik ke kampung halaman sempena bercuti panjang selama 6 hari di samping membawa ahli keluarga ber "cuti-cuti Malaysia" di tanah air sendiri.

Perjalanan pulang ke Kelantan dari Kuala Lumpur, dan pulang semula ke ibu kota merupakan suatu pengalaman yang cukup mencabar ketahanan fizikal dan mental. Bukannya apa, paling cepat perjalanan memakan masa 7 jam (non stop), manakala perjalanan secara normal dengan beberapa perhentian rehat dan makan selama lebih kurang 1 jam, justeru jumlah masa diambil adalah selama 8 jam. Dan aku memandu seorang selama 8 jam (pemandu bas ekspres pun hanya memandu 4 jam sahaja - bergilir 2 pemandu)!! Dengan kerenah anak-anak, lagu-lagu yang diputarkan pada CD player, cuaca yang agak panas, bilangan kenderaan yang banyak setiapkali musim perayaan menjelang, perjalanan meredah hutan belantara, lebuh raya yang bukan setaraf PLUS dengan kemudahan R&R yang bagus, bayangkan cabaran yang telah aku tempuhi.

Namun demikian, semangat dan motivasi ingin pulang ke kampung, enjoy the journey dan bekalan makan minum yang cukup berjaya membantu aku menghadapi cabaran ini dengan jayanya. Alhamdulillah. Apa yang penting, berhati-hati di jalan raya, ingat mereka yang tersayang dan sentiasa berfikiran tenang, rasional dan bermotivasi tinggi merupakan azimat yang sentiasa aku pegang setiapkali pulang ke kampung halaman.

Bila balik kampung, aku paling suka tang makanan. Memang mewah dan menepati selera aku sebagai "Kelantanese". Nasi kerabu ayam bakar atau nasi "belauk" ayam sebagai sarapan, secawan kopi kaw, makan tengahari yang simple tetapi makan beramai-ramai bersama ahli keluarga, buah-buahan tempatan yang enak, kuih muih yang manis, mudah didapati di mana-mana dengan harga yang berpatutan (walaupun aku dapati di sesetengah tempat, harga makanan telah meningkat atau tidak berubah, tetapi kuantiti yang dijual semakin berkurangan / saiz kuih semakin mengecil). Itulah kesan inflasi. Kos penyediaan makanan semakin meningkat dengan harga barang mentah yang tidak murah kini.

Bila lagi nak pulang ke kampung.... ish...

Comments