Raya yang sebenar

Assalamu'alaikum wrt. wbt.

Ramadhan 1427H telah tiba di penghujungnya. Insya-Allah, esok, umat Islam akan menyambut Syawal.

Apabila menyebut tentang sambutan Hari Raya Fitrah ataupun Aidil Fitri ataupun dalam bahasa Inggeris dipanggil Eid Mubarak, terlintas di fikiran kita bagaimana budaya sambutan itu diamalkan di negara kita ini. Lain negara, lain budayanya, lain cara sambutannya.

Antara amalan yang biasa dilakukan di pagi Aidilfitri bagi umat Islam di Malaysia ialah bangun awal, mandi sunat Aidilfitri dan berhias, memakai pakaian baru/bersih, lelaki memakai baju Melayu (yang mampu, memakai baju melayu lengkap bersamping songket, bersongkok, manakala yang kurang mampu hanya sekadar memakai baju melayu dan berkain pelikat serta berketayap), menunaikan solat sunat Aidilfitri, mendengar khutbah Aidilfitri, menziarahi pusara ahli keluarga yang telah meninggal dunia, dan mengunjungi rumah sanak saudara, sahabat handai dan jiran terdekat.Mereka yang mampu pula akan mengadakan "rumah terbuka" dan menyediakan juadah makanan yang lazat seperti lemang, ketupat, nasi impit, rendang, sate, serunding, biskut raya, dan lain-lain lagi. Yang tua memberikan "duit raya" kepada yang muda. Manakala stesen TV dan radio pula berlumba-lumba menghidangkan rancangan hiburan dan memainkan lagu-lagu nostalgia di Aidilfitri.

Saya percaya kebanyakan antara kita mengamalkan kebiasaan seperti yang dinyatakan di atas, jika tidak semua, sebahagiannya sudah menjadi kemestian. Sama ada kita sedari atau tidak, sebenarnya tidak semua amalan yang kita lakukan di Hari Lebaran ini merupakan sesuatu yang dituntut dalam Islam.

Mari kita imbau kembali sirah di zaman Rasulullah S.A.W, bagaimana Baginda menyambut Aidilfitri dan hikmah-hikmah disebalik amalan yang Baginda lakukan. Hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab pada masa itu.Apabila Rasulullah bertanya kepada mereka apakah dua hari raya itu, mereka segera menjawab bahawa dua hari raya yang mereka sambut itu adalah perayaan yang diwarisi secara turun temurun daripada datuk nenek mereka.

Lalu Rasulullah menyatakan kepada orang Arab Madinah bahawa Islam menggantikan dua hari raya yang kamu raikan itu dengan dua hari yang lebih bermakna iaitu Hari Raya korban atau Aidiladha dan Hari Raya Fitrah atau Aidilfitri.

Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu adalah satu ibadat. Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna.

Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, di mana jika dilakukan akan terbatal puasanya. Kerana itu Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.

Kalimat 'fitri' sendiri bermaksud fitrah iaitu dengan kejayaan manusia balik kepada fitrah yang asal. Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda.Oleh kerana ia dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut hari raya itu sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu. Apabila saja diumumkan hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat. Ini seperti memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan bahawa:"Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari kiamat."Pada pagi hari raya dimulakan dengan membersih diri, bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri dan seterusnya menghidupkan ukhwah dengan kunjung mengunjung di kalangan saudara mara dan sahabat handai.

Perlu diingat Islam tidak pernah mengajar umatnya agar untuk berlebih-lebih atau melampau batas dalam menyambut apa saja perayaan. Ini bermakna Islam menegah umatnya melakukan pembaziran dalam menyambut hari raya seperti boros berbelanja semata-mata untuk bergaya dengan pakaian mahal dan kuih muih terlalu banyak.

Pada zaman Rasulullah, datang seorang sahabat kepada baginda dengan berpakaian serba baru, kata sahabat ini: “Ya Rasulullah, pada tahun ini saya tidak dapat dapat menyambut Aidilfitri." Lalu baginda segera bertanya: "Kenapa wahai saudaraku?" Lelaki itu berkata: “Kerana saya tidak ada baju baru.”

Rasulullah kemudian bertanya kepada beberapa sahabat lain, agar sesiapa yang mempunyai baju baru dapat diberikan kepada lelaki tadi. Ini bermakna Islam tidak melarang sesiapa saja untuk bergaya dengan baju baru. Tetapi pengajaran daripada kisah tadi ialah dalam menyambut hari raya tidak semua bernasib baik dengan mempunyai pakaian baru. Lalu, digalak sesiapa yang ingin membuat kebajikan dengan bersedekah apa saja kepada orang yang tidak berupaya.

Konsep hari raya selalunya dikaitkan dengan pembaziran. Membelanjakan wang ringgit untuk membeli secara berlebihan atau membeli sesuatu yang boleh membawa kemudaratan seperti mercun dan bunga api amat salah di sisi agama. Mungkin pembaziran ini berlaku kerana masyarakat kita hidup dalam kemewahan. Sepatutnya rezeki yang lebih itu disumbangkan kepada saudara seagama lain yang mungkin tidak dapat merayakan hari raya seperti kita.

Satu lagi budaya yang lazim berlaku dalam sambutan hari raya ialah pemberian duit raya. Islam tidak melarang pemberian ini, asalkan tidak melampaui konsep pemberiannya itu. Usahlah kita mendidik anak-anak supaya berkunjung ke rumah jiran semata-mata dengan harapan anak akan diberi duit raya ini. Jika sebaliknya, maka pelbagai anggapan dan prasangka buruk diberikan kepada sesiapa yang tidak melazimkan pemberian itu. Misalnya, dikatakan kedekut, tangkai jering dan bakhil.

Menyentuh soal wang ini, satu kewajipan yang perlu ditunaikan oleh semua umat Islam menjelang Aidilfitri ialah zakat fitrah. Wang zakat ini adalah sumbangan yang akan diberikan kepada golongan yang tidak berupaya, miskin, fakir dan sebagainya mengikut lapan asnaf yang ditetapkan syariat.

Kesimpulannya, jika Aidilfitri disambut dengan kegembiraan yang melampau tanpa melihat beberapa pengisian yang disebutkan tadi, pasti tujuan asalnya jauh menyimpang. Kedatangan Syawal sepatutnya menginsafkan Muslimin di sebalik makna kemenangan dan kejayaan dalam sambutan Aidilfitri, kita tidak sepatutnya melupakan tuntutan agama.

Akhir kalam, marilah kita sama-sama cuba menghayati dan mengamalkan konsep "Raya Yang Sebenar" berlandaskan tuntutan Islam. Perkara fundamental dalam menyambut Aidilfitri adalah kembali ke fitrah asas manusia, di mana bagaikan seorang yang baru dilahirkan semula, kita haruslah menjadikan Aidilfitri sebagai permulaan baru ke arah membentuk insan yang lebih teguh imannya, istiqamah amalannya, hebat daripada sebelum Ramadhan. Elakkan pembaziran, banyakkan amalan soleh, insya-Allah kita akan menjadi umat Islam yang lebih kuat dan mampu menghadapi pelbagai cabaran di masa akan datang.

Selamat menyambut Aidilfitri!

Comments