26 Ramadhan - Balik Kampung

MUSIM BALIK KAMPUNG - PANDUAN & TIPS

Assalamu’alaikum wrt. wbt.

Mulai hujung minggu ini, ramai antara kita yang akan pulang ke kampung halaman untuk bercuti sempena menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang minggu hadapan. Dengan perayaan berganda sekali lagi berlaku secara kebetulan pada tahun ini, di mana Deepavali pada 21 Oktober manakala Hari Raya dijangka pada 24 Oktober, seperti tahun-tahun lalu, bilangan kenderaan di jalan raya dipercayai akan meningkat sekurang-kurangnya dua kali ganda.

Justeru itu, saya ingin menyentuh sedikit tentang aspek "balik kampung", samalah seperti apabila para ustaz/alim ulamak menyentuh bab "puasa" sebelum Ramadhan menjelang sebagai satu ulangkaji bagi memperingatkan diri sendiri dan kepada sahabat-sahabat lain. Ia lebih kepada panduan dan tips berguna yang boleh kita amalkan bersama.

Secara tradisionalnya, umum mengandaikan bahawa balik kampung adalah aktiviti besar "setahun sekali" bagi mereka yang bekerja di kota, pulang ke desa untuk berhari raya bersama ayahbonda, ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.

Tapi realitinya kini, sudah ramai antara kita yang balik kampung bukan setakat setahun sekali, malah ada yang sebulan sekali ataupun seminggu sekali! Akan tetapi, saya lebih suka bercerita tentang isu balik kampung semasa cuti perayaan yang panjang.

Balik kampung sempena musim perayaan besar seperti Aidilfitri ini memerlukan satu perancangan yang strategik dan komprehensif. Kenapa saya katakan sedemikian? Ini kerana banyak faktor penting yang perlu diambilkira sebelum kita memulakan perjalanan, semasa perjalanan, selepas perjalanan dan apabila pulang semula ke tempat kita mencari nafkah, kemungkinan besar di kota.

Secara ringkas, di sini saya gariskan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh kita semasa balik kampung di musim perayaan yang bakal menjelang:

Persediaan awal
• Memastikan kenderaan dalam keadaan baik (fizikal, enjin dan kelengkapan) bagi memulakan perjalanan jauh.
• Sekiranya kenderaan perlu diservis, tukar minyak pelincir, periksa tayar, "wiper", bal lampu, pad brek, hawa dingin dan lain-lain lagi.
• Memeriksa semua lampu (halogen, signal, brek termasuk brek ketiga, lampu dalam kereta) berfungsi dengan baik. Jika ada bal yang terbakar, gantikan.
• Membersihkan luaran dan dalaman kenderaan agar perjalanan jauh menjadi selesa.
• Memeriksa tekanan angin tayar, termasuk jajaran (alignment) dan keseimbangan (balancing). Ini juga termasuk tayar simpanan, jack dan kelengkapan asas kereta (screw driver, spanner, lampu suluh, fius tambahan, dll).
• Bagi mereka yang ingin berjimat sedikit, mungkin boleh memasang sistem penjimat bahanapi yang bersesuaian agar penggunaan petrol/diesel dioptimumkan dalam perjalanan jauh.
• Mengemaskan pakaian yang ingin dibawa pulang, jangan tunggu "last minute", mungkin ada yang tertinggal. Sediakan senarai semakan (checklist). Hatta butang baju melayu bagi kaum lelaki merupakan benda yang selalu tertinggal kerana ia kecil dan selalu dilupakan.
• Merancang dengan tepat dan jelas tarikh, masa dan laluan untuk balik kampung. Sediakan pelan kontingensi jika terpaksa menukar tarikh, masa atau laluan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Sebelum memulakan perjalanan
• Menyusun barangan yang hendak dibawa balik dengan baik, biskut raya perlu disusun kemas agar tidak pecah semasa perjalanan, baju-baju raya tidak penyek atau terlipat.
• Menyediakan bekal jika membuat perjalanan di waktu petang yang mungkin menyebabkan kita terpaksa berbuka puasa semasa dalam perjalanan. Ia juga termasuk bekal makanan & minuman untuk anak-anak yang tidak berpuasa.
• Menyediakan bantal dan selimut bagi mereka yang membuat perjalanan malam yang lebih sejuk, dan memberi keselesaan kepada isteri dan anak-anak.
• Pastikan tempat duduk pemandu dan penumpang selesa, boleh dilaras/dibaringkan ketika diperlukan.
• Pastikan kelengkapan membantu pemanduan seperti cermin mata, sunshades, handsfree, dll lagi ada dan mudah dicapai;
• Pastikan ada wang tunai yang mencukupi bagi membayar tol, petrol atau mungkin berbelanja sedikit apabila berhenti di kawasan "rehat dan rawat". "Top-Up" Touch N Go dan gunakan smart tag jika ada, bagi mengelakkan kesesakan pada lorong tunai.
• Pastikan tangki minyak penuh sebelum memulakan perjalanan, cuba elakkan mengisi minyak di pertengahan perjalanan kerana biasanya banyak kenderaan "queue" dan ini mengganggu kelancaran perjalanan anda.
• Periksa secara sepintas lalu kenderaan (luaran), melihat pada tayar, wiper, lampu dan enjin (radiator dan tangki air wiper), dan kesan-kesan luar biasa pada badan kereta.
• Pastikan telefon bimbit ada "full-charged battery" atau "re-charge" semasa memandu nanti.
• Pemandu memakai pakaian yang longgar tetapi selesa, bagi memastikan kelancaran perjalanan darah.
• Sebelum memandu, bacalah doa memulakan perjalanan dan juga memohon pada Allah S.W.T agar perjalanan ini mendapat berkat dan sentiasa dirahmati oleh-Nya. Niat solat jamak & qasar jika keadaan memerlukan, cukup 2 marhalah (lebih kurang 91 km).

Dalam perjalanan
• Memandu dengan cermat, berhati-hati, mematuhi segala peraturan jalan raya.
• Memilih laluan yang selamat dan kurang pengguna, tetapi jika tiada pilihan/terpaksa menggunakan lebuhraya atau jalan utama (trunk road), berhati-hatilah.
• Jika mengantuk, berhenti berehat, regangkan badan atau "refresh" diri, tak semestinya minum/makan (jika siang hari). Pemanduan yang ideal adalah selama dua jam "non-stop", dan berhenti rehat sekurang-kurangnya 5-10 minit. Solat semasa berhenti rehat juga satu aktiviti yang baik untuk merehatkan/refresh badan.
• Jika terlalu penat, berbukalah. Islam membenarkan umatnya berbuka puasa ketika musafir, jika itu dapat mengelakkan kemudaratan kepada mereka yang berjalan jauh.
• Sentiasa memantau keadaan penumpang (isteri/suami, anak-anak) agar mereka sentiasa selesa dalam perjalanan dan tidak mengganggi kita yang memandu.
• Sentiasa memantau kenderaan (odometer), melalui cermin sisi, pandang belakang bagi memastikan kenderaan tetap dalam keadaan baik.
• Sentiasa memantau perlakuan pemandu lain, sama ada kenderaan di hadapan, belakang atau dari arah bertentangan. Kita dah memandu dengan terbaik, tetapi orang lain mungkin tidak.
• Elakkan mengekori rapat kenderaan di hadapan. Jika nampak kenderaan depan lebih perlahan/membahayakan, memotonglah. Buat jangkaan tepat sebelum memotong. Jangan memotong secara melulu dan berbahaya.
• Pasang radio/kaset/CD bagi hiburan penumpang dan menghilangkan rasa mengantuk, berbual-bual dengan ahli keluarga juga menghilangkan mengantuk lantas meningkatkan kemesraan.
• Sekiranya mengalami kesesakan lalulintas yang teruk sama ada di lebuhraya atau jalan biasa, bersabarlah, berzikir banyak2 dan buat "simple strecthing" semasa kereta tidak bergerak.
• Jika memandu di waktu malam, jangan pasang lampu tinggi/lampu kabus sekiranya ada kenderaan datang dari arah hadapan. Bertimbangrasalah.
• Jika berlaku kemalangan, jangan panik. Lihat sekeliling. Jika anda terlibat dalam kemalangan, pastikan anda selamat dahulu sebelum menyelamatkan orang lain. Sediakan nombor kecemasan (polis, bomba, ambulan, dll) dalam kereta/simpan dalam telefon bimbit. Jika kawasan itu tiada liputan (no coverage), tahan/tumpang kenderaan lain ke balai polis terdekat. Bantulah mereka yang malang, insya-Allah besar pahalanya.

Setelah sampai di destinasi (kampung)
• Mengucapkan doa & syukur kerana selamat sampai ke destinasi.
• Rehat seketika, ambil nafas baru, regangkan urat sendi dan anggota badan sebelum keluar / apabila baru keluar kenderaan;
• Angkat semua barang dari kenderaan, bersihkan dalam kenderaan dari sampah / kekotoran masa perjalanan;
• Periksa kenderaan buat kali terakhir bagi melihat sebarang perubahan (fizikal, enjin) selepas perjalanan jauh;
• Jika enjin panas, buka bonet dan sejukkan enjin secara semulajadi.
• Tutup enjin dan hawa dingin, biarkan ia rehat sekuran-kurangnya satu jam.

Akhir kata, pandulah, tungganglah atau jalanlah dengan cara yang selamat! Ingat orang yang tersayang! Jangan jadikan Hari Raya ini sebagai hari yang berduka dan penuh tragedi! Semoga kita semua selamat sampai ke destinasi masing-masing, sebelum dan selepas Aidilfitri... insya-Allah!

Comments