19 Ramadhan - Jual Beli, Tolong Ummah

Semalam, semasa aku sedang meronda untuk membeli sedikit juadah berbuka puasa, aku disapa secara “personal” oleh seorang peniaga…

"En Shahrul, mai lah singgah beli kueh…" kedengaran suara seorang lelaki menyapaku.

Aku memandang sekeliling, ingin memastikan bahawa aku tidak tersilap dengar. Lantas aku memandang pada peniaga di depanku. Laa…. Jiran aku yang merupakan kakitangan sebuah agensi Kerajaan di Pulau Pinang rupanya.

Aku tersenyum padanya. Sambil bertanya khabar, tentang perniagaannya, bila dia berniaga, apa juadah yang dijual, bagaimana prestasi perniagaannya dan lain-lain, mataku pantas memilih beberapa jenis kuih manis dan “savoury” untuk dijadikan juadah berbuka.

Beliau (biarlah aku rahsiakan namanya) hanya berkongsi berniaga bersama seorang rakannya dalam Bazar Ramadhan berhampiran rumahku. Isteri beliau pandai membuat pelbagai jenis kuih muih, sama ada “savoury” (non-sweet delicacies) mahupun yang manis. Jika di bulan2 selain daripada Ramadhan, beliau akan menghantarkan kueh untuk dijual di beberapa gerai peniaga berdekatan kawasan perumahan kami.

Aku gembira menolong insan seperti beliau, mencari rezeki tambahan di Bulan Ramadhan yang mulia ini. Aku gembira walaupun hanya RM2 sahaja yang dibelanjakan, namun wang itu aku niatkan dengan hati yang penuh ikhlas. Malah, aku telah menetapkan satu prinsip hidup dalam diri ini, iaitu jika berbelanja, berbelanjalah untuk membeli produk atau mendapatkan perkhidmatan daripada usahawan Melayu ataupun usahawan Muslim. Pastikan niat berbelanja selain daripada memenuhi keperluan dan kehendak diri, wang yang dibayar itu adalah sumbangan kepada penjual/penyedia perkhidmatan tersebut yang pastinya berniaga untuk mencari rezeki yang halal.

Sebenarnya ini adalah konsep asas (basic) kepada jual beli dalam Islam. Apa yang penting, ada penjual dan ada pembeli dan mereka berurusniaga dengan baik, dengan transaksi yang menghasilkan konsep menang-menang (win-win), iaitu pembeli mendapat barangan yang diperlukan, manakala penjual mendapat wang hasil jualan barangan tersebut, pada harga yang dipersetujui melalui satu akad (jual-beli). Pendek kata, kedua-dua pembeli dan penjual merasa puas hati. Ceteris paribus.

Katakanlah kalau kita membeli sesuatu barang, tetapi hati kita tidak seronok atau puas setelah membeli barangan tersebut, maka ia sebenarnya tidak menepati konsep yang disarankan dalam Islam. (Ceteris paribus - faktor luaran yang mungkin menyumbang tidak diambilkira.) Ini disebabkan hanya penjual sahaja yang berpuas hati, manakala pembeli tidak merasakan sedemikian.

Sepekara lagi, setiap sen/ringgit yang dibelanjakan seboleh-bolehnya disalurkan kepada mereka yang memerlukan, i.e. wang tersebut digunakan untuk menolong mengembangkan ekonomi bangsa sendiri, umat Islam, seterusnya memastikan kekayaan diperluaskan di kalangan bangsa dan ummah sendiri.

Sebagai permulaan, jadikan barangan pengguna, makanan/minuman dan kegunaan di rumah (household items) sebagai subjek utama kepada inisiatif murni ini. Aku telah mula mengamalkan dasar “beli barangan buatan Melayu/Islam” semenjak mengenali ramai pengusaha daripada bangsa sendiri, semata-mata untuk menyokong perniagaan mereka. Namun begitu, aku pastikan bahawa produk/perkhidmatan yang mereka tawarkan perlulah menepati spesifikasi keperluan, kehendak, “taste and preferences” diriku serta mempunyai kualiti yang amat baik.

Aku berdoa agar usahaku yang tidak seberapa ini diberkati Allah, dan lebih ramai daripada bangsaku mempunyai “attitude” yang positif kea rah menyokong dan memakmurkan ekonomi bangsa dan ummah sendiri…

Comments