17 Ramadhan - Nuzul Al Quran : Jom Baca!

Alhamdulillah, kita telah selamat melewati separuh daripada Ramadhan Al-Mubarak, dan kita memasuki separuh kedua Ramadhan ini dengan doa dan harapan semoga kita semua terus diberi kekuatan untuk beribadah dengan istiqamah kepada Allah S.W.T.

Sempena menyambut Nuzul Al-Quran pada hari ini, aku ingin mencoretkan secebis persepsi terhadap apa sebenarnya pengajaran di sebalik peristiwa penting dalam takwim Islam ini.

Sebagai menyorot sejarah secara ringkas (refresh), Nuzul Al-Quran adalah peristiwa di mana ayat-ayat suci Al-Quran diwahyukan kepada Rasulullah S.A.W. Ia adalah satu peristiwa simbolik di mana Allah S.W.T. telah mengurniakan bukat setakat ayat-ayat yang disusun kemas lagi indah, malah mempunyai maksud yang mendalam, ilmu pengetahuan yang maha agung, garis panduan lengkap serta menyeluruh kepada umat Islam, dan seterusnya mengatasi kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada Nabi-Nabi terdahulu.

Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T dalam surah Al-Anbiya' ayat 108, yang bermaksud:

"Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam."

Dengan Al-Quran sebagai mukjizat terbesar yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada Rasulullah S.A.W, ia menjadi salah satu instrumen atau wadah yang membantu Baginda memimpin umat manusia ke arah kesehjateraan hidup di dunia dan di akhirat.

Peristiwa Nuzul al-Quran mengubah dan membina peradaban umat. Ini kerana Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan Al-Quran itu adalah perkara benar dan tidak perlu diragui oleh manusia.

Jika kita amati, ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Rasulullah S.A.W. melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-Alaq yang bermaksud:

"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Maha Mulia yang mengajarkan (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya"

Justeru itu, berdasarkan catatan sejarah yang telah tertulis, dapatlah disimpulkan bahawa peristiwa Nuzul Al-Quran memberikan satu pengajaran utama kepada kita iaitu – kepentingan membaca.

Kita semua tahu bahawa membaca adalah satu perbuatan yang baik dan mulia. Membaca membuka minda dan jiwa kepada lautan ilmu pengetahuan yang tiada putus, tiada bertepi. Membaca meluaskan pemikiran, membina perspektif, mempertajamkan daya analitikal dan memperteguh prinsip serta pegangan diri.

Budaya membaca telah lama diamalkan oleh masyarakat Barat yang bukan beragama Islam. Walaupun dahulu betapa ramai ilmuan Islam lahir daripada pembangunan tamadun dan perkembangan syiar Islam yang menguasai hingga Rom dan Parsi, tetapi selepas kejatuhan empayar Islam, orang Barat mula membaca, menyelidiki, mencedok ilmu yang dijana oleh ilmuan Islam ini.

Mereka mula membangunkan bangsa dan negara berdasarkan ilmu yang diperolehi, dan terus tidak menoleh ke belakang lagi, sehingga kini menjadi kuasa ilmu utama dunia, di mana ramai umat Islam pula menoleh ke sana untuk mempelajari ilmu daripada mereka.

Di Malaysia, pernah dibuat satu kajian pada tahun 1996, bahawa rakyat Malaysia secara purata membaca 2 naskhah buku sahaja dalam masa setahun! Ia mungkin benar, mungkin tidak. Mungkin penemuan berkenaan sudah tidak relevan dengan realiti kini. Tetapi secara relatifnya, indikator ini perlu dibimbangi oleh kita kerana hakikatnya, kebanyakan rakyat Malaysia hanya gemar membaca daripada sumber yang mudah diperolehi dan lebih ringan, ringkas seperti akhbar dan majalah, dan yang terkini, Internet.

Tidak ramai yang suka membaca buku, kecuali ahli akademik dan pelajar, itupun kerana tuntutan pembelajaran. Bagi aku, tidak kira apa jua sumber atau medium pembacaan yang digunakan, apa yang penting amalan membaca perlu dibudayakan dalam kehidupan kita seharian. Dalam 24 jam sehari, kita perlulah meluangkan masa untuk membaca.

Di bulan Ramadhan Al-Mubarak yang mulia ini, sejajar dengan Nuzul Al-Quran, sememangnya bersesuaianlah kita muhasabah diri dan mula menerapkan amalan membaca, terutamanya Al-Quran. Bila bercakap tentang membaca Al-Quran, ada yang sinis mengatakan bahawa membaca Al-Quran sahaja tidak cukup, tanpa mengetahui maksud atau isi kandungan di sebalik ayat-ayat suci yang dibaca itu. Sesetengah yang lain pula berkata, apa guna membaca kalau tak dipraktikkan pengajarannya. Aku setuju dengan pendapat itu.

Akan tetapi, masih ramai lagi di antara kita masih tidak membaca Al-Quran, malah yang lebih teruk ada yang tidak tahu langsung membaca Al-Quran! Ini satu fenomena yang membimbangkan. Kita kena mula jika belum bermula.

We have to start somewhere, because we are getting nowhere if we do not start at all! Jika kita tak membaca, bagaimana nak mempraktikkan sesuatu ilmu? Amal tanpa ilmu akan membawa kita kepada kesesatan, dan mungkin gila! Justeru. kita perlu ukur baju di badan sendiri. Kepada mereka yang tidak tahu membaca Al-Quran, belajarlah membacanya.

Kepada mereka yang sudah tahu membaca Al-Quran, tetapi tidak sering membacanya, maka kerapkanlah membaca Al-Quran. Kepada mereka yang sering membaca Al-Quran dan sudah mahir membacanya, rajin-rajinlah membaca Al-Quran yang ada tafsirnya. Kepada mereka yang mahir membaca Al-Quran dan faham pula tafsirnya, belajarlah pula mendalami maksud, ilmu dan pengajaran daripada ayat-ayat suci Al-Quran itu. Apabila membaca Al-Quran, ada adab dan tertibnya.

Jika buku, majalah atau akhbar, kita boleh menggunakan teknik "speed reading", akan tetapi bagi Al-Quran, kita perlu membaca huruf demi huruf, makhraj demi makhraj, kalimah demi kalimah, ayat demi ayat, tertib mengikut dengungnya, madnya, sabdunya, waqafnya dan pelbagai lagi hukum tajwid. Ada beberapa tempat dalam Al-Quran yang memerlukan kita sujud sahwi.

Banyak lagi yang aku tak mungkin dapat mencatatkannya di sini, apa yang penting ini semua wajib kita pelajari, amalkan dan ajarkan pula kepada anak-anak kita, generasi muda agar mereka sentasa celik Al-Quran.

Akhir kalam, aku menasihati diri sendiri dan kepada sesiapa yang ingin mengambil pengajaran daripada cetusan fikiran ini, agar kita sama-sama membudayakan amalan membaca, sebagai jambatan ilmu pengetahuan dan juga meningkatkan keimanan dan ketakwaan pada Allah S.W.T.

Aku ingin akhiri dengan lirik lagu nasyid Rabbani – "Apa Yang Kau Tahu"

Bacalah..sebutlah dengan nama tuhan yang menciptakan segala kejadian didunia bacalah ..tulislah dengan pena wahyu yang diutuskan risalah kebenaran untuk insan Seluruh kasihnya telah dia curahkan tulus suci mengisi ruang hati bagai dalam dingin rindu berdakapan dengan kata syahdu kasih mesra bersatu Apa yang kau tahu Bacalah..lihatlah dengan mata selami sanubari putaran panorama hidup ini Bacalah...tipuan mata hati bisikan penuh mimpi melamar kelalaian tidak henti suruhan larangan telah dia sampaikan jangan pilih haluan di murka kelak rebah diri duka menangisi tanpa belas kasih disiksa saban waktu apa yang kau tahu gua hira menggamit kisah silam satu peristiwa nabi bersendiri iqra` diturunkan muhammad ditabalkan tersuratlah sudah kalam dari tuhan sekian kalinya detik waktu berlalu apa terus berbakti untuk dia membalasi kasih syukur dengan nikmat amal yang bertambah hikmahnya kan ketemu apa yang kau tahu...

Jom baca dan teruskan ibadah puasa!

Comments