1 Ramadhan - Menyesuaikan diri

Hari ini, 1 Ramadhan 1427 Hijrah. Selamat menunaikan ibadah puasa. Biasalah, hari pertama, memang bukan senang nak menyesuaikan diri. Menahan diri daripada lapar dan dahaga. Alhamdulillah cuaca agak baik dan tidak terlalu panas. Ditakdirkan juga hari pertama puasa adalah hari Ahad, iaitu hari kelepasan am hujung minggu di kebanyakan negeri di Malaysia. Manakala Kedah, Kelantan dan Terengganu bercuti pada 1 Ramadhan (Cuti Awal Ramadhan).

Alhamdulillah sempat bersahur tadi, walaupun sudah agak lewat (insya-Allah dapat pahala melewatkan sahur... hehehehe...). Aku berharap agar dapat bangun bersahur setiap pagi tanpa terlepas untuk sekurang-kurangnya menikmati seteguk air sebelum menunaikan fardu Subuh.

Bila bercerita tentang sahur, setiap orang ada cara, tabiat dan jenis makanan yang diambil. Ada yang sekadar mengambil makanan ringkas seperti burger, nugget, kentang goreng mahupun mi segera (orang bujang)! Malah tak kurang juga yang mengambil hanya secawan minuman panas seperti Milo, Nescafe, Teh, Susu, dan sebagainya. Ada yang makan nasi tetapi kena ambil lauk yang panas (baru dimasak), kalau yang bujang kena ada lauk pembuka selera seperti serunding daging, ikan bilis goreng pedas, ikan kering, sambal belacan, gulai dan sebagainya. Pendek kata, tepuk dada, tanya selera.

Aku pula, akan makan apa sahaja yang terhidang. Tak cerewet. Makanan panas atau sejuk, berat atau ringkas, aku "belasah" sahaja, sebab semangat bersahur tu memang tinggi. Tetapi yang paling aku gemari adalah mengambil sedikit makanan berat seperti nasi dan beberapa jenis lauk (macam makan malam), yang aku lebih suka adalah menghabiskan lauk berbuka tadi dan pastikan tiada apa yang dibazirkan. Kalau ada makanan segera seperti nasi goreng, mi goreng, dll aku juga akan "belasah" sekali. Segala macam kuih muih lebihan "moreh" semalam juga aku akan habiskan. Bagi aku, sahur adalah acara "menghabiskan makanan yang ada" sebagai bekal alas perut berpuasa keesokan harinya. Dan sebagai penutup setelah makan, aku akan mengambil segelas air sejuk.

Salah satu tips aku untuk membuka selera semasa bersahur adalah memakan sekurang-kurangnya sebiji kurma sebelum mengambil makanan lain. Walaupun tak sempat menggosok gigi, makan kurma akan terus membuatkan mulut anda menjadi sedap dan membuka selera untuk menikmati makanan lain. Ada petua di zaman Rasulullah menyatakan bahawa jika tidak mahu rasa lapar semasa berpuasa, makanlah 7 biji kurma semasa bersahur. Aku tak pernah cuba kerana aku sayang nak makan kurma banyak2... jimat beb... kurma bukan murah... hehehehehe...


Ada juga mereka yang tak suka bangun sahur. Kenapa? Susah nak bangun. Tak boleh bangun. Mereka lebih suka bersahur sebelum tidur. Tetapi ini tidak digalakkan dalam Islam. Bangun sahur adalah bangun awal pagi, sekurang2nya sejam sebelum Subuh. Lebih digalakkan, bersahur dilakukan selepas umat Islam selesai bersolat tengah malam (bangun malam - Qiamullail) dan tidak digalakkan tidur selepas sahur, agar kita tidak terlepas Solat Subuh dan makanan dapat dicernakan oleh perut dengan baik. Pendek kata, bersahur adalah satu amalan yang penuh hikmah dan berkat di bulan Ramadhan ini, bukan setakat amalan baik yang memberikan pahala, malah ia baik kepada kesihatan tubuh badan.

Walau apa pun, selamat berpuasa! Semoga setiap hari semakin kuat dan tabah menempuh segala cabaran di bulan Ramadhan Al Mubarak ini.

Comments