Small Investments for Bigger Returns

Hujung minggu baru-baru ini, aku berkesempatan bertemu sahabat lama. Hampir 4-5 bulan aku tak bertemu beliau. Maklumlah, masing-masing sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Dalam kami bersembang tentang isu-isu semasa, satu perkara menarik perhatian aku. Dia menceritakan tentang dunia akhir zaman, masa semakin pantas berlalu dan kita semakin kesuntukan masa untuk bersedia menghadapi akhirat. Itu hakikat yang benar-benar kurasai kini. Terasa bagaikan solat 5 waktu sahaja tidak mencukupi sebagai bekalan menghadapi akhirat. Banyak masa terluang dihabiskan dengan aktiviti keduniaan, bukan untuk amalan soleh bagi memperolehi ganjaran di akhirat nanti. Aku insaf seketika.

Hakikatnya kehidupan ini sebenarnya adalah satu ibadat. Manusia dilahirkan sebagai khalifah Allah bagi mentadbir bumi ciptaan-Nya ini. Islam tidak menolak dunia tetapi menyuruh umatnya melakukan semua aktiviti kehidupan bagi menuju destinasi yang abadi - akhirat. Dunia selepas kiamat. Alam kekal abadi setelah semua manusia dihisab amalannya. Bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya, dan beribadatlah kamu seolah-olah kamu akan mati keesokan harinya.

Lantas aku bertanya pada diri sendiri, adakah aku sudah bersedia? Jawapannya amat menakutkan, menginsafkan. Betapa aku kini penat dan letih dengan kerja dunia. Bukan penat dan letih bersedia untuk akhirat.

Justeru, aku perlu melakukan sesuatu. Sebagai permulaan, satu konsep yang aku "revisit" (lihat semula) untuk aku amalkan adalah "small investments for bigger returns" - iaitu, pelaburan sedikit demi sedikit bagi bekalan akhirat. Aku tidak boleh melupakan terus urusan dunia begitu sahaja, kerana aku masih tidak mampu. Jika aku sudah mampu, pasti aku akan mengembleng sepenuh tenaga dan usaha bagi tujuan murni ini.

Konsep ini aku cetuskan pada Ramadhan 1426H yang lalu, di mana aku melakukan amalan soleh sedikit demi sedikit, secara konsisten dengan tulus ikhlas, namun ganjarannya insya-Allah berlipat kali ganda, sama ada di dunia (balasan baik terus dari Allah) mahupun akhirat (balasan baik yang dijanjikan Allah kemudian di akhirat).

Antara amalan-amalan baik yang boleh dilaksanakan ialah:

1. Tadarus Al Quran seketika sebelum/selepas mengerjakan solat fardhu (value added to solat 5 waktu)
2. Solat sunat (dan juga solat hajat) sebelum dan selepas Solat Jumaat.
3. Bertimbang rasa dan memberikan laluan kepada orang lain semasa memandu.
4. Menulis catatan positif dan baik di blog ini
5. Berkongsi menghantarkan bahan-bahan baik dan positif kepada rakan-rakan sekerja dan ahli keluarga tersayang melalui semua medium komunikasi - surat, e-mel, sms
6. Membaca bahan-bahan baik dan positif semasa waktu selang/rehat
7. Membantu orang dengan hati yang tulus ikhlas semasa bekerja - make and help others to be happy
8. Mendengar lagu-lagu berunsurkan nasihat dan kebaikan, mengingati Allah
9. Berzikir seketika di waktu selang/senggang

Itu yang aku sempat fikirkan buat masa ini. Apa yang penting, setiap amalan atau aktiviti yang dilakukan mestilah ada unsur keikhlasan, mengingati dan mengagungi kebesaran Allah SWT, tidak ada unsur menunjuk-nunjuk, berunsurkan positif, membina serta dakwah (ingat dan mengingatkan). Amal maaruf nahi mungkar.

Aku berdoa kepada Allah SWT agar usaha murni ini diberikan rahmat dan kelapangan oleh-Nya... dan semoga aku terus disihatkan tubuh badan untuk membuat pelaburan baik untuk akhirat ini... AMINNN!!!

Hiperrangkai ke catatan awal yang berkaitan:
http://mymegazine.blogspot.com/2006/03/small-investment-continous-returns_28.html

Comments