Taqwa dan iman

Pagi ini, semasa menikmati "early morning breakfast", aku terdengar sebuah lagu yang penuh bermakna, penuh maksud dan pengajaran, sama ada tersirat atau tersurat...

Lagu dendangan Datuk Ahmad Jais (tahniah di atas pengurniaan Panglima Jasa Negara - PJN oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong beberapa hari lepas), bertajuk "Taqwa dan Iman" ini memang satu lagu yang mempunyai melodi yang indah, lirik yang cukup puitis lagi bermakna. Ditambah dengan alunan "suara emas" Datuk yang menyanyikan lagu ini dengan penuh penghayatan, ia cukup menyentuh emosi aku di pagi yang indah ini... mengingatkan aku kepada keagungan Allah SWT dan terasa kerdil lagi insaf dengan kekuasaan-Nya... Mari kita hayati dahulu lirik lagu di bawah:

Taqwa dan Iman

Selagi hayat dikandung badan
Jangan sekali dikau lupakan
Perintah Rasul dan perintah Tuhan
Itulah tugas setiap insan

Jika kita melupakan
Perintah Tuhan kau abaikan
Jangan sekali kau harapkan
Bahagia di dunia yang fana
Apa erti hidup ini
Jika tiada taqwa dan iman

Selagi hayat dikandung badan
Berbuat baik sesama insan
Jangan lupakan perintah Tuhan
Fakir dan miskin jangan kau lupakan
Selagi hayat dikandung badan...

Antara pengajaran penting yang boleh diambil dari lagu di atas...

- Perintah Rasulullah (melalui Sabda, Hadis sahih) mesti diikuti dan dijadikan panduan;
- Perintah Allah SWT sememangnya wajib untuk ditaati;
- Kita harus sentiasa berbuat baik sesama manusia tanpa mengira agama, bangsa, pangkat, darjat, warna kulit, lelaki/wanita, dll;
- Kita juga tidak harus melupakan mereka yang susah, miskin dan sentiasa memberikan pertolongan kepada mereka mengikut kemampuan kita; dan
- Kebahagiaan akan datang sekiranya kita mengamalkan perbuatan baik.

Kesimpulannya, selagi hayat dikandung badan, kita kena sentiasa terus menjadi insan dan hamba Allah yang baik, dengan melakukan amal ma'aruf dan nahi mungkar... kehidupan di dunia tidak bererti, jika tiada taqwa dan iman...

Comments