Pengalaman di LCCT

Semalam, aku berkesempatan berkunjung ke terminal penerbangan murah (low cost carrier terminal - LCCT) kerana menghantar pembantu rumah warga Indonesia pulang ke tanahairnya setelah berkhidmat di rumah ku hampir 2 tahun.

Aku memulakan perjalanan awal dari rumah - seawal 5 pagi dengan menggunakan laluan terbaik, kurang lampu isyarat, kurang trafik (memang awal pagi kurang kereta pun) dan paling murah (in terms of toll fares). Dari rumah aku di Gombak, aku menyusuri MRR2 melalui sambungan Lebuhraya KL-Karak, dan melewati Taman Melati, Taman Melawati, Hulu Klang, Ampang, Cheras sebelum membelok ke Lebuhraya Besraya di Sungai Besi. Jam menunjukkan 5.25 pagi. Hanya 25 minit dari Gombak ke Sg Besi! Itu pun bila tiada kesesakan lalulintas.

Tol yang dikenakan di BESRAYA adalah RM1.30 (Palace of Golden Horses). Aku memandu melewati MINES, Seri Kembangan, Serdang hingga ke persimpangan ke Lebuhraya pintasan Kajang-SILK, membelok ke Putrajaya. Aku suka menggunakan laluan Putrajaya kerana ia lurus, kurang trafik dan "toll-free". Setelah melewati Putrajaya, aku memasuki pintasan ke Cyberjaya dan keluar ke Lebuhraya ELITE melalui susur Cyberjaya/Putrajaya di dalam daerah Dengkil, dan dari situ ke tol lebuhraya KLIA memakan masa kira-kira 15-20 minit. Tol dikenakan hanya RM3.90. Jumlah yang aku bayar sehala adalah RM5.20, atau RM10.40 dua hala (pergi dan balik). The cheapest route from Gombak-KLIA.

Aku memasuki susur keluar ke LCCT melalui susur Dengkil/Salak Tinggi, dan melewati trek F1 dalam kegelapan pagi. Aku mengira-ngira masa diambil dari simpang berkenaan sehingga kami sampai di LCCT kira-kira 15 minit dengan purata kelajuan 100 kmj. Jauh juga! Tiba di LCCT kira-kira jam 6.05 pagi. Perjalanan aku memakan masa satu jam 5 minit.

Kali pertama memandang LCCT, aku tiba-tiba merasa teruja. Teruja dengan rekabentuknya yang "simple" - menggunakan binaan berasaskan tetulang dan dinding keluli, tetapi disulami dengan binaan batu bata. Kemasan dalaman juga nampak "simple", tetapi praktikal. Memang betul-betul konsep "low cost". Terminal yang berkeluasan 35,290 meter persegi itu menelan belanja RM108 juta itu berjaya disiapkan dalam masa 9 bulan sahaja (fast track construction) mula beroperasi pada 23 Mac 2006. Ia berkeupayaan mengendalikan sejumlah 10 juta penumpang setahun, dan berupaya ditingkatkan kapasiti kepada 15 juta. Ia dilengkapi pelbagai kemudahan asas sesebuah lapangan terbang seperti kaunter daftar masuk, balai perlepasan, balai ketibaan, kedai (termasuk bebas cukai) dan restoran, "money changer", telefon awam, tandas awam, surau, ATM, khidmat pengangkutan awam dan khidmat keselamatan, imigresen, kuarantin dan kastam.

Namun demikian, pemerhatian aku secara mendalam terhadap LCCT ini mendapati beberapa kekurangan yang boleh diperbaiki dan ditingkatkan tanpa peningkatan kos yang tinggi seperti:

- kemudahan tandas awam perlu dijaga (maintain) dengan lebih baik dan bersih. Perlu lebih banyak akses ke tandas awam, bukan hanya satu tempat di kawasan umum (public area) yang aku dapati agak sesak pada pagi itu. Perlu gunakan teknologi "smart fast flush" yang boleh "refill" semula secara automatik dalam masa 10-15 saat selepas dipam untuk kegunaan pengguna seterusnya.

- kemudahan surau juga hanya mampu menampung 30-40 jemaah pada satu-satu masa. Aku rasa tidak cukup, dan kemudahan mengambil wuduk perlu lebih bersih dan kering (gunakan lapik lantai tidak licin) bagi mengelakkan jemaah tergelincir selepas mengambil wuduk untuk ke bilik solat.

- kekurangan kerusi di ruang legar awam amat ketara. Perlu diperbanyakkan bangku duduk tanpa sandar untuk mereka yang lebih berusia duduk tanpa perlu lenguh berdiri lama.

- tempat menyimpan bagasi perlu disediakan, kalau pun ada aku tak nampak di mana (mungkin lokasi tak strategik kot).

- kemudahan letak kereta yang luas perlu dipuji. Caj letak kereta juga berpatutan, RM1 untuk sejam! Tetapi pada "ramp" atau "divider" boleh sediakan laluan pejalan kaki yang mesra pengguna, terutama yang kurang upaya.

- tempat "drop off" dan "pick up" perlu diperluaskan dan dijaga agar pemandu terhad mengambil dan menurunkan penumpang sahaja dengan selesa, bukannya meletakkan kenderaan sesuka hati.

- sistem penghawa dingin, pencahayaan juga perlu disesuaikan agar menjimatkan kos operasi lapangan terbang. Sesetengah tempat, terlalu banyak lampu digunakan, manakala sesetengah tempat lagi malap tiada cahaya.

- kemudahan makan minum perlu bertaraf "low cost" dan jangan terlalu standard. Satu set makanan dan minuman aku dapati lebih mahal daripada membeli satu set burger, kentang dan minuman ringan di McDonalds! Sepatutnya lebih mengutamakan makanan tempatan, harga murah, seperti kuih RM1 untuk 3 biji, nasi lemak sebungkus RM1.20 - RM1.50 sahaja. Teh tarik gelas kecil mungkin RM1 segelas. Kalau diletak restoran mamak di sini, memang harus laku!!!

- lokasi restoran juga di hadapan pintu utama memang tak strategik. Kenapa tidak letakkan ia di dua penjuru hujung terminal LCCT supaya tidak mengganggu kelancaran perjalanan mereka yang ingin berlepas dan tiba dari kapal terbang terus ke kenderaan sambungan (connecting transport)?

- bercerita tentang connecting transport, hanya teksi dan bas sahaja kelihatan. Memang itulah "mode of transport" yang paling mudah dan murah. Namun, kalau lah dibenarkan keretapi berhenti2-henti beroperasi di sana, atau KLIA Transit, mungkin kesesakan kenderaan lain boleh dikurangkan.

Bila dibuat perbandingan dengan "Budget Terminal" di Singapura, LCCT jauh lebih luas. Namun kemudahan di Singapura nampak lebih baik dan tersusun kemas. Mungkin jumlah penerbangan mereka tidak sebanyak Air Asia. LCCT nampak terlalu sibuk dan "crammed". Tak semestinya orang menghantar kena duduk di dalam. Kalau kawasan luar dibuat dengan indah, dan ada gerai makan, mungkin sebahagian besar yang "hanya menghantar" penumpang ini boleh duduk berehat dan menikmati keindahan luar terminal.

Secara keseluruhannya, LCCT adalah insiatif yang cukup baik yang dilakukan oleh pihak Kerajaan dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai "hub" penerbangan murah di Asia. Semoga pihak MAB yang menyelenggara kemudahan di LCCT dapat terus menjaga kebersihan, kekemasan dan kualiti fasiliti di LCCT agar tahan lama dan sentiasa dalam keadaan terbaik untuk kemudahan semua penumpang. Kini, semua orang boleh terbang!

SUMBER: http://klia.com.my/LCCTerminal/

Comments