Capai Matlamat Minda Kelas Pertama Dengan Identiti Sendiri
KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Pembangunan modal insan bermindakan kelas pertama perlu diberi keutamaan dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju beridentiti sendiri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Dalam perutusannya sempena Hari Pekerja 2006 yang disambut hari Isnin, Perdana Menteri berkata dalam konteks dunia global hari ini, modal insan yang benar-benar berkualiti adalah satu kemestian, bukan lagi satu kemewahan.
"Sekiranya kita ingin melangkah ke era ekonomi berpaksikan pengetahuan serta ingin menjadi bukan sahaja sekadar mana-mana negara maju tetapi negara maju yang mempunyai identitinya sendiri serta mampu terus kekal pada tahap itu, pembangunan modal insan berminda kelas pertama harus diutamakan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Berikutan itu, beliau berkata tema Hari Pekerja "Pekerja Cemerlang Negara Terbilang" sekali lagi dipilih tahun ini bagi mengambarkan hasrat kerajaan itu."Bertepatan dengan tema ini, sememangnya modal insan negara perlu terus digilap kerana ianya merupakan elemen terpenting dalam memastikan negara terus berdaya saing dan berdaya tahan, lebih-lebih lagi dalam zaman ekonomi sejagat yang amat mencabar; ekonomi yang berlandaskan pengetahuan serta bertunjangkan sains dan teknologi," kata Perdana Menteri.
Abdullah juga berkata kerajaan menyedari bahawa "golongan pekerja adalah aset terpenting sesebuah negara hingga mampu menentukan turun naik dan jatuh bangunnya sesebuah negara"."Atas hakikat itulah, dalam kita mengejar pembangunan dan kemajuan demi mencapai hasrat menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020, kerajaan memberikan penekanan yang amat besar kepada usaha membina serta memanfaatkan sepenuhnya potensi modal insan negara," katanya.
Beliau berkata sebagai modal insan negara hari ini, kerajaan dan rakyat sama-sama mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan sepenuh komitmen.Kerajaan memerlukan sokongan dan kerjasama daripada rakyat untuk merebut peluang dan memainkan peranan dalam menjayakan pelbagai strategi dan perancangan yang dilakukan untuk membangunkan modal insan negara, katanya.
Abdullah juga berkata rakyat sebagai modal insan pula perlu terus memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membudayakan semangat pendidikan sepanjang hayat."Ini penting agar modal insan negara sentiasa menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang terkini dan ditunjang pula dengan nilai-nilai murni agar menjadi tenaga kerja yang dinamik dan menghayati budaya kerja berprestasi tinggi."Pendidikan dan latihan kemahiran berkualiti yang berterusan juga akan memastikan modal insan negara kekal relevan dengan kehendak industri dan pasaran semasa serta mampu berdepan dengan cabaran dan suasana persaingan antarabangsa yang kian meningkat," kata Perdana Menteri.
Abdullah juga berkata kerajaan menyanjung tinggi hasil sokongan dan kerjasama padu yang diberikan oleh majikan dan pekerja sambil berharap ia terus terjalin bagi mengekalkan perhubungan yang harmoni itu."Perkara yang paling penting dalam menentukan kejayaan dalam mencapai apa yang kita hasratkan adalah persefahaman yang diterjemahkan kepada kerjasama dan usaha gigih antara kita bersama.
"Marilah kita bersama-sama melakukannya demi kecintaan kita pada negara," kata Perdana Menteri sambil mengakhiri perutusan itu dengan ucapan "Selamat Menyambut Hari Pekerja".
SUMBER: BERNAMA

Comments