Kenaikan tarif elektrik - satu pendapat peribadi

Semalam, Kerajaan melalui Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik telah mengumumkan kenaikan tarif elektrik dengan kadar purata sebanyak 12 peratus.

Bagi aku, kenaikan ini tidak dapat dielakkan, memandangkan bahawa kos untuk menjana tenaga elektrik semakin meningkat, lantaran "generator" yang digunapakai kebanyakannya menggunakan produk petroleum (diesel) sebagai punca tenaga. Ada juga yang menggunakan sumber tenaga lain seperti arang batu dan gas asli. Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai "sole service provider" juga mengalami masalah kewangan yang agak serius dan kenaikan tarif ini diharapkan dapat mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung oleh pihak TNB.

Aku menerima dengan hati yang terbuka. Nampaknya sekali lagi kos sara hidup mungkin akan meningkat, seperti kesan kenaikan harga petroleum satu masa dahulu. Namun demikian, kesan kenaikan tarif elektrik ini tidak aku rasakan sangat kerana aku antara mereka yang tergolong di dalam pengguna isi rumah berpendapatan rendah yang menggunakan kurang daripada 200kWh elektrik sebulan.

Walau apa pun, usaha untuk mengamalkan perbelanjaan berhemat, mengurangkan pembaziran, berjimat selagi boleh dan menyimpan untuk kegunaan masa depan harus diteruskan dan dijadikan amalan tetap seharian. Insiatif dan strategi bertindak seperti ini merupakan satu perancangan jangkapanjang dan juga dapat mengurangkan bebanan kewangan diri serta keluarga. Penjimatan penggunaan elektrik juga merupakan salah satu tindakan yang patut dan terus diamalkan.

Tarif Elektrik Naik Pada Purata 12 Peratus Dari 1 Jun

PUTRAJAYA, 24 Mei (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan menaikkan tarif elektrik pada purata 12 peratus berkuatkuasa 1 Jun. Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, yang mengumumkannya hari Rabu, berkata bagaimanapun isi rumah berpendapatan rendah yang menggunakan 200 kilowatt-jam (kWh) elektrik sebulan tidak akan terjejas dengan kenaikan itu.

Beliau berkata kadar sedia ada 21.8 sen setiap kWh bagi pelanggan berkenaan kekal tidak berubah. Mengenai kira-kira satu juta isi rumah atau 18 peratus pengguna yang menggunakan antara 201 dan 300kWh elektrik sebulan dengan bil elektrik antara RM44 dan RM70 akan hanya mengalami kenaikan bulanan minimal antara tiga sen dan RM3.10, katanya pada sidang media di sini.

Dr Lim berkata kerajaan juga memperkenalkan tarif pertanian spesifik untuk membantu dan memodenkan aktiviti seperti penternakan ayam dan haiwan, penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan dan penternakan ikan. Tarif baru itu adalah lebih rendah daripada tarif komersil yang sektor pertanian sebelum ini diklasifikasikan di bawahnya.

Comments