Renungan Jumaat - 17 Mac

Sikap boros saudara syaitan

FIRMAN Allah SWT bermaksud: "Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya". – Surah al-Isra’, ayat 26 - 27.

Menerusi ayat ini Allah SWT menyuruh supaya berbuat baik bukan hanya kepada ibu bapa, malah kepada kaum kerabat, orang miskin dan orang musafir dalam rangka menyambung silaturrahim sesama manusia. Di samping itu, Islam melarang keras daripada bersikap boros atau membazir.

Apakah yang dimaksudkan dengan boros atau membazir dalam Islam dan apakah faktor penyebab kepada sikap buruk itu? Membazir menurut al-Imam Syafie ra ialah membelanjakan harta tidak pada jalan yang benar (tidak termasuk pada amalan atau kerja-kerja kebaikan). Inilah juga pandangan majoriti ulama Islam.

Imam Malik ra pula berkata: "Membazir itu ialah mengambil harta daripada tempat yang benar dan diletakkannya di tempat yang tidak benar, itulah boros namanya."

Ringkasnya, sesiapa yang membelanjakan hartanya semata-mata kerana memenuhi hawa nafsu lebih daripada kadar yang diperlukan, maka ia termasuk pemboros. Dan sesiapa yang membelanjakan satu ringgit pun pada perkara yang haram, maka ia dianggap pemboros dan perlu diberi teguran serta ingatan.

Berbelanja dalam Islam hendaklah dalam secara sederhana – tidak bakhil dan boros, tidak menyusahkan masa depan orang di bawah tanggungannya. Sesungguhnya boros itu boleh membawa seseorang kepada penyesalan, kerugian dan celaan.

Sikap boros berpunca daripada beberapa faktor antaranya, pengaruh kehidupan masa kecil seseorang, kerana mungkin ia dilahirkan dalam keluarga yang hidup dalam serba kemewahan dan boros. Akhirnya cara hidup sedemikian menjadi budaya hidupnya secara tidak sedar sehingga sikap seperti itu tidak terasa lagi sebagai suatu kesalahan.

Sikap membazir juga boleh berlaku apabila seseorang dengan tiba-tiba menjadi senang setelah lama hidup susah. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Demi Allah, tidaklah kemiskinan itu yang aku takut menimpa kamu, akan tetapi aku takut kamu dibentangkan dunia sebagaimana dunia dibentangkan kepada mereka yang sebelum kamu, lalu kamu saling berebut-rebut sebagaimana mereka itu berebut-rebut mendapatkan dunia, kelak kamu akan binasa sebagaimana mereka dahulu juga binasa." – Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Membazir juga berpunca daripada lupa kepada bekalan bagi perjalanan menuju keredaan Allah dan syurga, kerana jalan berkenaan tidaklah dibentang dengan permaidani merah, bunga-bungaan dan penuh keselesaan, akan tetapi ia dipenuhi dengan ranjau, duri, air mata, peluh dan darah.

Untuk memasuki jalan ini tidak mungkin dengan kemewahan dan keselesaan, tetapi sebaliknya dengan semangat kepahlawanan dan waja. Firman Allah SWT bermaksud: "Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu?

Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datang pertolongan Allah? "Ingatlah pertolongan Allah itu amat dekat". – Surah al-Baqarah, ayat 214.

Kita berdoa kepada Allah semoga diberikan kekuatan ilmu dan amal agar dapat menggunakan harta benda sebaik mungkin pada jalan yang diredai Allah, tidak termasuk golongan pemboros yang menjadi saudara syaitan.

SUMBER: Biro Agama Kelab MATRADE

Comments