Catatan - Gerak Usahawan Perak 2006

Walaupun badan masih terasa penat kerana bekerja terus 7-hari seminggu minggu lepas, tetapi masih mampu membuat sedikit catatan dalam perjalanan kehidupan yang penuh pancaroba dan rintangan.

Beberapa perkara yang menarik perhatianku semasa menyertai Program Gerak Usahawan 2006 Negeri Perak Darul Ridzuan kerana menjalankan tugasan yang diamanahkan untuk agama, bangsa dan negara minggu lepas, adalah:

- terharunya melihat ramai usahawan Bumiputera yang dahagakan maklumat, pengetahuan dan memerlukan khidmat nasihat bagi mengembangkan perniagaan mereka
- kesungguhan pelbagai agensi Kerajaan merangka program bagi membantu usahawan membangunkan perniagaan mereka
- berkongsi pengalaman dengan beberapa sahabat dari pelbagai latar belakang sektor (kerajaan, swasta dan usahawan) tentang dunia perniagaan yang penuh pancaroba.

Aku juga berkesempatan memberikan sedikit suntikan motivasi dalam pembentangan kertas kerja semasa Bengkel dalam program Gerak Usahawan 2006 tempoh hari. Walaupun "crowd" tidak sehebat semasa program yang sama di Alor Setar, Kedah, tapi "keterujaan" aku memberikan taklimat dan berada sebaris dengan "otai2" yang hebat seperti Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, bekas Ketua Pengarah FAMA, dan Pengarah Kanan MARA begitu membuatkan aku bersemangat tinggi untuk membantu usahawan Bumiputera ini.

Dalam sesi Klinik Usahawan, keterujaan aku terus hangat apabila satu persatu usahawan yang datang meminta khidmat nasihat adalah usahawan Bumiputera yang memiliki idea perniagaan hebat, cuma tak tahu bagaimana nak bergerak ke hadapan. Aku hanya mampu menunjukkan beberapa laluan di samping melontarkan idea2 untuk diimplimentasikan oleh mereka, dan jauh di sudut hatiku mendoakan kejayaan mereka.

Banyak pengajaran yang boleh diambil dari pengalaman yang cukup berharga ini. Aku amat gembira dan bersyukur dapat menyumbang sesuatu berharga kepada mereka yang memerlukan...

Comments