NABI Muhammad S.A.W. merupakan Rasulullah yang bertanggungjawab menyebar Islam kepada umatnya setelah melalui pelbagai keperitan dan kejerihan. Paderi St. Valentino pula merupakan seorang paderi utama yang hidup pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dan merupakan antara orang terpenting yang menjatuhkan dan menzalimi umat Islam Cordova, Sepanyol pada zaman lampau.
Rasulullah S.A.W. lahir pada 12 Rabiulawal manakala tarikh kejayaan St. Valentino dan konco-konconya menawan Cordova daripada umat Islam ialah pada 14 Februari. Tetapi apa yang peliknya terutama di kalangan umat Islam sendiri, tarikh 14 Februari lebih senang untuk diingati berbanding 12 Rabiul Awal itu sendiri.
Setiap tahun 14 Februari diingati sebagai Hari Kekasih yang di kalangan sesetengah umat Islam amat rugi jika dilupakan. Hari ini ia sekali disambut lagi dengan pelbagai acara yang dianggap oleh pasangan kekasih paling istimewa. Ada yang saling bertukar-tukar bunga ros, mengadakan acara makan malam dengan disinari cahaya lilin, bertukar-tukar perasaan di taman-taman bunga dan sebagainya. Ada pula yang berpendapat, Hari Mengingati Kekasih juga adalah untuk mengingati orang lain yang dikasihi selain kekasih seperti ibu bapa dan sebagainya.
Misalnya, di Sarawak tahun lalu, media-media tempatannya juga tidak terkecuali. Tanpa mengira sama ada sidang pengarangnya terdiri daripada umat Islam atau tidak, ada media yang mengucapkan Selamat Hari Valentine, menganjurkan Pertandingan Hari Valentine malah ada juga media Melayu tempatan yang menganggap Hari Valentine sebagai legenda pada tajuk salah satu rencananya. Malah ada juga media elektronik yang mewujudkan satu program hiburan sempena Hari Valentine.
Siapakah sebenarnya orang yang bernama Valentine ini sehingga diangkat begitu agung sekali dan di kalangan umat Islam sendiri popularitinya melebihi Rasulullah S.A.W.
Pensyarah Perbandingan Agama, Akademi Islam, Universiti Malaya, Khadijah Mohd. Hambali berkata, Valentine atau nama sebenarnya St. Valentino merupakan seorang paderi paling berpengaruh di zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol. Kedudukannya dikatakan di tempat kedua selepas Pope. Kaitannya dengan Hari Valentine yang disambut oleh masyarakat dunia hari ini termasuk di kalangan umat Islam sendiri mempunyai dua versi.
Versi pertama ialah dia merupakan orang terpenting Ratu Isabella yang berperanan menumpaskan kerajaan Islam Cordova, Sepanyol. Jasanya itu dianggap oleh Ratu Isabella sebagai amat bermakna sehingga Valentino dianggap kekasih rakyatnya sendiri. Justeru itu 14 Februari ditetapkan sebagai cuti umum di samping hari untuk merayakan kemenangan tersebut setiap tahun sekaligus mengenangnya sebagai mengingati St. Valentino sebagai rakyat Cordova. Sehingga ke hari ini, peristiwa kemenangan St. Valentino tersebut terus diingati dan rakyat Cordova mengingatinya semula dengan melakon semula kejayaan tentera Ratu Cordova Isabella itu.
Menurut versi kedua pula, St. Valentino sebelum kejayaan itu dikatakan mempunyai dua orang kekasih. Kekasih pertama dikatakan beragama Islam manakala yang kedua beragama Kristian berfahaman Protestan. Oleh kerana lain agama, St. Valentino terpaksa melupakan kekasih pertama dan menumpukan perhatian kepada kekasih kedua. Apabila ditanya Ratu Isabella apakah bentuk ganjaran yang boleh dikurniakan berikutan kejayaannya mengalahkan umat Islam, St. Valentino terus menyatakan yang dia ingin berkahwin dengan kekasih keduanya itu. Ini terus menimbulkan kegemparan di kalangan rakyat Cordova sendiri kerana Valentino merupakan paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan sementelahan lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Ratu Isabella pula dikatakan murka dengan hasrat St. Valentino lantas memenjara sementara paderinya itu. Begitupun, baginda tetap mahu cuba mengingati jasa paderinya itu dengan menetapkan 14 Februari sebagai Hari Mengingati Kekasih yang diuntukkan khas untuk St. Valentino sendiri.
Berdasarkan kedua-dua versi itu, apakah asas yang kukuh sehingga umat Islam sendiri menganggap Hari Valentine itu begitu istimewa lebih-lebih lagi pada bulan Muharram yang mulia ini. Atau pun, mereka hanya mengikut budaya Barat secara membuta tuli sedangkan tidak mengetahui siapakah sebenarnya St. Valentino itu. Jika pun ingin mengingati kekasih atau orang-orang yang disayangi yang lain, tidak semestinya ia disambut pada setiap 14 Februari. Sambutan boleh juga dijalankan pada setiap kali tibanya hari kelahiran orang-orang yang disayangi melalui acara-acara yang lebih diredai seperti kenduri doa selamat atau sebagainya.
" Bukankah Rasulullah SAW yang sepatutnya lebih diingati setiap tahun kerana bagindalah manusia yang paling mencintai umatnya". (Setiap tahun - 12 Rabiul Awal bersamaan 11 April 2006 pada tahun ini).
SUMBER: Biro Agama KSM
Fadhilat Hari Asyuraa'
Hari Asyura' berasal daripada perkataan 'Asyara' yang bermaksud kesepuluh atau merujuk kepada hari yang kesepuluh dalam bulan Muharram. Sementara hari yang kesembilan daripada bulan Muharram dikenali sebagai Hari Tasua' (kesembilan).
Pada awal Islam, Hari Asyura' adalah merupakan hari yang cukup dimuliakan dan diwajibkan bagi orang-orang Islam untuk perpuasa padanya hinggalah turunnya perntah berpuasa fardhu pada bulan Ramadhan maka hukum berpuasa pada Hari Asyura' bertukar kepada Sunat Muaakad. Namun, sebahagian sahabat masih kekal melaksanakan puasa pada hari tersebut mengenangkan kelebihan dan keistimewaan hari tersebut berdasarkan banyak nas-nas daripada Hadith Rasulullah SAW.
Nas-Nas Berhubung dengan Hari Asyura
Daripada Abdullah Ibni Abbas berkata: Telah menyuruh Rasulullah S.A.W. supaya berpuasa pada Hari Asyura' pada hari kesepuluh pada bulan Muharram.
Daripada Abu Qatadah, bahawasanya Rasulullah S.A.W. bersabda:Berpuasalah pada hari Asyuraa' bahawasanya aku berharap diatas Allah S.W.T bahawa ianya (berpuasa itu) dapat mengkifaratkan segala dosa pada tahun yang lalu.
Biasanya Bangsa Quraish berpuasa pada Hari Asyuraa' sejak zaman jahiliyyah, juga Rasulullah S.A.W biasa berpuasa di Makkah dan kemudian selepas berhijrah ke Madinah, dan telah turun perintah wajib berpuasa pada bulan ramadhan maka Nabi S.A.W bersabda: Saya dahulu telah menyuruh kamu sebagai perintah wajib berpuasa Asyuraa' dan kini terserah siapa suka berpuasa dan yang tidak suka boleh meninggalkannya.
Dan banyak lagi nas-nas yang menunjukkan kelebihan untuk berpuasa pada Hari Asyura ini.
Cara untuk berpuasa pada Hari Asyuraa'
Puasa Asyuraa' pada awalnya dilakukan oleh Rasulullah sendirian dan tidak diperintahkan kepada sahabat-sahabat untuk melakukannya ketika baginda masih berada di Mekah, namun selepas penghijrahan baginda ke Madinah baginda telah meneruskan puasa tersebut dan turut memerintahkan para sahabat untuk mengerjakannya sehinggalah turunnya perintah untuk berpuasa pada bulan Ramadhan maka hukum berpuasa pada Hari Asyuraa' dimansuhkan.
Hari Asyuraa' sebenarnya bukan sahaja disambut oleh orang Islam namun dalam masa yang sama golongan Kristian dan Yahudi turut mengagungkan hari tersebut kerana terdapatnya peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada hari tersebut. Sepertimana yang dinyatakan dalam hadith: "Daripada Ibn Abbas R.A. berkata: ketikamana sampai Rasulullah S.A.W di Madinatul Munawwarah maka bagida dapati golongan Yahudi berpuasa pada Hari Asyuraa' maka bersabda Rasulullah S.A.W.kepada mereka : Hari apakah ini yang kamu berpuasa?
Maka mereka berkata (yahudi): Hari ini adalah hari yang besar bagi kami, dimana Allah S.W.T. telah selamatkan Nabi Musa A.S. dan kaumnya dan menenggelamkan Firaun bersama kaumnya ke dasar lautan, maka berpuasalah Musa kerana bersyukur maka kami pun berpuasa.
Maka bersabda Rasulullah S.A.W: Sekiranya begitu kamilah yang lebih berpuasa daripada kamu maka berpuasalah Rasulullah S.A.W dan menyuruh sahabat-sahabatnya untuk berpuasa.
Rasulullah S.A.W telah mengajar umatnya untuk berpuasa pada hari yang sepuluh pada bulan Muharram dengan tidak melakukannya sendirian namun turut berpuasa juga pada hari yang kesembilan atau hari yang kesebelas atau ketiga-tiga hari tersebut bagi mengelakkan meniru puasa orang yahudi yang berpuasa hanya pada 10 Muharram.
Sebenarnya berlaku khilaf dikalangan ulama dalam menentukan tarikh sebenar Hari Asyuraa' samada hari kesembilan atau hari kesepuluh.Namun mengambil sikap cermat dalam melakukan ibadah dengan berpuasa pada kedua-dua hari tersebut adalah terlebih baik agar kita tidak terlepas daripada mendapat kelebihan yang ada pada hari Asyuraa' tersebut. Selain berpuasa kita juga dituntut untuk memperbanyakkan amalan-amalan yang lain sepanjang Hari Asyuraa' tersebut, antaranya:
- Solat Sunat selain solat Fardhu
- Menghubungkan Silaturrahim
- Banyakkan bersedekah
- Bersihkan diri dari sebarang kekotoran
- Bercelak Mata
- Menziarahi Ulama
- Menziarahi Orang sakit
- Mengusap Kepala Anak Yatim
- Meluaskan untuk keluarga
- Memotong kuku
- dan Membaca Surah Al Ikhlas seribu kali
Moga panduan yang diberi memberikan kita kesempatan untuk bersedia menyambut suatu hari yang besar di dalam Islam ini. Selamat menyambut Hari Asyuraa'.
Sumber : DrKadir Blog (http://drkadir.blogdrive.com/)
Comments